Leader Energy mulakan pembinaan projek solar 99MWac di Kedah, operasi dijangka bermula 2027

LocalEnvironment
10 Jul 2026 • 11:57 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Leader Energy mulakan pembinaan projek solar 99MWac di Kedah, operasi dijangka bermula 2027 Image from: Leader Energy mulakan pembinaan projek solar 99MWac di Kedah, operasi dijangka bermula 2027 liza10/07/2026 - 11:57 Majlis pecah tanah projek itu disempurnakan oleh Pengasas Leader Energy, Tan Sri H’ng Bok San bersama Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Leader Energy, Datuk Sean H’ng serta Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Datin Seri Jessica H’ng Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Julai – Leader Energy Group Berhad memulakan pembinaan projek solar berskala besar berkapasiti 99MWac di Mukim Kuala Ketil dekat Baling, Kedah menerusi projek Leader Solar Energy III (LSE III).

 

Pembangunan projek LSE III itu dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuh Leader Energy iaitu Leader Solar Energy III Sdn Bhd selepas projek berkenaan dianugerahkan di bawah Program Solar Berskala Besar Malaysia 5+ (LSS5+).

 

Projek tersebut dijangka mula beroperasi pada 2027 dan akan menyumbang kapasiti tenaga boleh diperbaharui tambahan kepada grid nasional, sekali gus menyokong objektif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

 

Majlis pecah tanah projek itu disempurnakan oleh Pengasas Leader Energy, Tan Sri H’ng Bok San bersama Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Leader Energy, Datuk Sean H’ng serta Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Datin Seri Jessica H’ng.

 

Pembangunan LSE III meneruskan rekod prestasi Leader Energy di Kedah selepas kumpulan itu berjaya membangunkan dua projek solar terdahulu iaitu Leader Solar Energy (LSE) berkapasiti 38MWp dan LSE II berkapasiti 29.4MWp di bawah program Solar Berskala Besar (LSS) pertama Malaysia pada 2018 dan 2019.

 

Menurut Leader Energy, pengalaman membangunkan projek-projek berkenaan mengukuhkan keupayaan kumpulan itu dalam membangunkan, membina, memiliki serta mengendalikan aset tenaga solar berskala utiliti yang menyokong agenda peralihan tenaga negara.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Leader Energy, Datuk Sean H’ng berkata, permulaan pembinaan LSE III merupakan pencapaian penting dalam perjalanan kumpulan itu untuk menyokong peralihan tenaga Malaysia.

 

“Projek ini mencerminkan komitmen berterusan kami dalam menyokong peralihan tenaga Malaysia melalui pembangunan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui yang berkualiti tinggi dan boleh dipercayai.

 

“Keutamaan kami adalah memastikan LSE III disiapkan dengan selamat, cekap dan mengikut jadual. Setiap projek yang kami laksanakan membawa kami lebih dekat kepada usaha memacu peralihan tenaga Asia sambil mewujudkan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan serta komuniti yang kami berkhidmat,” katanya.

 

Sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjang, Leader Energy terus membangunkan, membina, memiliki dan mengendalikan aset penjanaan tenaga boleh diperbaharui, penyimpanan tenaga serta infrastruktur penghantaran kuasa di seluruh Asia.

 

Dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri tenaga, Leader Energy mempunyai portfolio pelbagai yang merangkumi tenaga solar, angin, hidro, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) serta infrastruktur penghantaran kuasa.

 

Kumpulan itu kini mempunyai operasi di enam pasaran Asia dan kekal komited dalam menyediakan infrastruktur tenaga yang boleh dipercayai serta mampan bagi memperkukuh keselamatan tenaga serantau, mempercepatkan usaha penyahkarbonan dan mencapai sasaran pelepasan bersih sifar gas rumah kaca menjelang 2030. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved