Lebih 1,000 peserta tahun lalu, Rumah Ngaji Kelantan sasar lebih ramai sertai Malaysia #QuranHour 2026

11 Aug 2026 • 4:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lebih 1,000 peserta tahun lalu, Rumah Ngaji Kelantan sasar lebih ramai sertai Malaysia #QuranHour 2026
Agensi kerajaan, swasta, NGO, masjid serta komuniti di Kelantan dijemput bersama-sama menyertai Malaysia #QuranHour 2026 bagi menyemarakkan gerakan membudayakan al-Quran dalam kehidupan masyarakat. Gambar kecil: Surena

KOTA BHARU – Agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), masjid serta komuniti di Kelantan dijemput bersama-sama menyertai Malaysia #QuranHour 2026 bagi menyemarakkan gerakan membudayakan al-Quran dalam kehidupan masyarakat.

Program bertemakan Bangsa Berbudi dan Penyayang itu akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini, bersamaan 17 Rabiulawal 1448H.

Selangor menjadi lokasi utama, manakala program peringkat Kelantan akan berlangsung di Masjid Al-Munir, Mukim Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini.

Ketua Biro Media dan Promosi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan, Surena Mohd Noor berkata, penyertaan agensi dan NGO amat dialu-alukan bagi memastikan gerakan berteraskan al-Quran itu dapat diperluaskan kepada lebih ramai masyarakat.

“Penting untuk kita bersama-sama ambil bahagian dan hidupkan Malaysia #QuranHour.

“Ini bukan hanya program membaca al-Quran, tetapi peluang untuk kita baca, faham, amal dan sampaikan mesej al-Quran kepada seluruh masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Surena berkata, sambutan Malaysia #QuranHour di Kelantan tahun lalu menunjukkan gerakan berkenaan mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 1,000 peserta daripada pelbagai daerah hadir di Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian di sini, selain penyertaan serentak di lokasi lain dan secara dalam talian.

Malah, rekod penyertaan itu meningkat berbanding kira-kira 700 peserta pada tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan minat masyarakat Kelantan terhadap program berteraskan al-Quran terus berkembang.

Katanya, Malaysia #QuranHour 2026 pula membawa panduan daripada Surah al-Muzzammil, Surah al-Balad dan Surah al-Baqarah dengan penekanan kepada pembentukan diri, membantu golongan yang memerlukan serta membina masyarakat yang berbudi dan penyayang.

“Kami harap lebih banyak agensi dan NGO tampil bersama tahun ini kerana apabila banyak pihak bergerak bersama, mesej al-Quran ini boleh sampai kepada lebih ramai masyarakat,” katanya.

Agensi dan NGO yang berminat menyertai atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Surena di 019-939 0693.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved