Lebih 100 penunggang terima petrol percuma, penduduk Hulu Kelang disantuni

1 Sep 2026 • 4:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Lebih 100 penunggang terima petrol percuma, penduduk Hulu Kelang disantuni

SHAH ALAM, 1 SEPT: Lebih 100 penunggang motosikal sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang menerima manfaat menerusi Program Petrol BUDI MADANI RON95 Percuma yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Penyelaras DUN Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli berkata program pada 25 Ogos lalu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Penerangan Daerah Gombak, Komuniti MADANI Hulu Kelang dan Petronas AU5 Lembah Keramat.

Menurutnya, setiap penerima memperoleh petrol bernilai RM5 atau kira-kira 2.5 liter yang memberi manfaat terutama kepada penghantar makanan, golongan muda serta penduduk yang menggunakan motosikal untuk urusan harian.

Image from: Lebih 100 penunggang terima petrol percuma, penduduk Hulu Kelang disantuni
Penyelaras DUN Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli bersama penerima manfaat Program Petrol BUDI MADANI RON95 Percuma sempena Hari Kebangsaan 2026 di Petronas AU5 Lembah Keramat. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli

“Walaupun jumlahnya tidak besar, namun RM5 dengan hampir 2.5 liter setiap motosikal amat bermakna buat mereka,” katanya menerusi Facebook.

Juwairiya berkata bantuan itu turut dimanfaatkan ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah serta warga setempat yang menggunakan motosikal untuk ke surau dan masjid.

Pada hari sama, beliau turut menyantuni golongan wanita menerusi Kuliah Dhuha sempena Maulidur Rasul di Surau Al-Azim, Jalan Enggang.

Image from: Lebih 100 penunggang terima petrol percuma, penduduk Hulu Kelang disantuni
Juwairiya Zulkifli bersama muslimat yang menghadiri Kuliah Dhuha sempena Maulidur Rasul di Surau Al-Azim, Jalan Enggang, Hulu Kelang. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli

Program anjuran Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Hulu Kelang dengan kerjasama Biro Muslimat surau itu turut menjadi platform menyampaikan maklumat mengenai pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri kepada wanita dan keluarga.

Antaranya MamaKerja bagi ibu bekerja, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) untuk warga emas serta Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) yang menyediakan bantuan RM300 sebulan selama dua tahun kepada penerima layak.

Menurut Juwairiya, kaunter Pusat Khidmat Bergerak turut dibuka bagi memudahkan penduduk mendapatkan maklumat dan membuat pendaftaran berkaitan inisiatif yang disediakan.

Kedua-dua program itu menjadi sebahagian usaha mendekati masyarakat setempat, selain memastikan maklumat mengenai bantuan dan kemudahan Kerajaan Negeri dapat disampaikan terus kepada penduduk.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved