
HULU TERENGGANU – Dua motosikal Yamaha RXZ bergesel sebelum salah satu daripadanya dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), Honda HR-V menyebabkan seorang penunggang maut manakala seorang lagi cedera parah di Kilometer 406.4 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Ajil di sini, malam tadi.
Dalam kemalangan pada pukul 11.45 malam itu, mangsa, Mohd. Yusri Rusdi, 38, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan dan mangsa cedera Eiri Aizul M. Safri, 34, mengalami patah tangan kanan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu dari Cherating, Pahang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, dua motosikal jenis Yamaha RXZ berkenaan dikatakan bergesel antara satu sama lain menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh ke atas lebuh raya. Kenderaan jenis Honda HR-V gagal mengelak lalu merempuh Mohd. Yusri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sharudin berkata, impak rempuhan itu menyebabkan Mohd. Yusri tercampak ke dalam parit di tepi lebuh raya dan mayat mayat lelaki tersebut dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Penunggang motosikal maut, dua Yamaha RXZ bergesel di LPT2 appeared first on Kosmo Digital.






