Lebih 260 pelarian Rohingya, termasuk wanita dan kanak-kanak, tiba di pantai Aceh, Indonesia, selepas berlayar di laut selama beberapa hari, kata seorang pegawai pada hari Isnin.
Pelarian Rohingya, yang kebanyakannya beragama Islam, sering dianiaya di Myanmar dan ramai yang berisiko mengarungi laut yang berbahaya setiap tahun untuk mencari perlindungan di Malaysia atau Indonesia.
Menurut Iskandar, seorang pegawai di Aceh Timur, kumpulan pelarian ini tiba di pantai Peureulak Barat pada malam Ahad sekitar jam 10:25 malam waktu tempatan (1525 GMT).
“Jumlah mereka adalah 264 orang, dengan 117 lelaki dan 147 wanita, dan sekitar 30 orang adalah kanak-kanak,” kata Iskandar, memetik laporan dari AFP.
Mereka pada mulanya menaiki dua bot. Salah satunya tenggelam di laut, manakala sebuah lagi bot berjaya sampai ke pantai. Mereka kemudian berjalan ke pantai apabila air surut.
“Mereka memberitahu saya bahawa, mereka telah ditolak oleh Malaysia,” kata Iskandar, sambil menambah bahawa kerajaan tempatan masih belum memutuskan di mana mereka akan ditempatkan.
Kedatangan pelarian Rohingya di Indonesia bergantung kepada musim. Jumlah mereka berkurang pada bulan monsun dan meningkat semula apabila cuaca laut lebih baik.
Pada November tahun lalu, lebih 100 pelarian diselamatkan selepas bot mereka tenggelam di perairan Aceh Timur. Pada bulan Oktober pula, 152 pelarian Rohingya dibawa ke pantai selepas terdampar berhari-hari di laut di daerah Aceh Selatan.
Indonesia tidak mengikut Konvensyen Pelarian PBB dan menegaskan mereka tidak diwajibkan menerima pelarian dari Myanmar. Sebaliknya, Indonesia meminta negara jiran untuk berkongsi beban dan membantu memindahkan pelarian Rohingya yang tiba di pantai mereka.
Ramai penduduk Aceh yang merasa simpati terhadap pelarian Rohingya. Namun, ada juga yang mulai bosan kerana mereka percaya pelarian ini menggunakan sumber daya yang terhad dan kadang-kadang terlibat dalam masalah dengan penduduk tempatan.
Sumber: AFP
The post Lebih 260 pelarian Rohingya mendarat di Aceh, mengadu diusir Malaysia appeared first on The Reporter.


