
JAKARTA: Pencemaran akibat asap daripada kebakaran hutan yang berlarutan selama beberapa bulan di Indonesia dianggarkan menyebabkan 3,560 kematian di negara kepulauan Asia Tenggara itu pada September lalu, menurut satu kajian baharu.
Pada bulan sama, kira-kira 57.8 juta penduduk Indonesia terdedah kepada udara tidak sihat hingga berbahaya, menurut Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih (CREA), sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Helsinki.
“Kualiti udara yang semakin merosot akibat kebakaran hutan dan tanah di Indonesia menyebabkan jumlah kematian dianggarkan mencecah 3,560 kes pada September 2026, meningkat dua kali ganda berbanding anggaran pada Ogos,” menurut kenyataan CREA pada Khamis.
Kajian CREA menganggarkan jumlah kematian akibat pencemaran zarah halus PM2.5 dalam jangka pendek, iaitu dalam tempoh beberapa hari.
Zarah PM2.5 cukup kecil untuk menembusi paru-paru atau memasuki aliran darah, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengaitkan pendedahan kepada zarah itu dengan peningkatan risiko penyakit dan kematian pramatang.
Menurut laporan itu, kebanyakan kematian yang dianggarkan berlaku di wilayah Kalimantan di pulau Borneo, selain di pulau Jawa dan Sumatera serta kawasan timur Indonesia.
Penyelidik turut meneliti pencemaran bukan berpunca daripada kebakaran, termasuk aktiviti penjanaan kuasa di bandar, sektor perindustrian dan pengangkutan.
Mereka mendapati faktor berkenaan menyebabkan tambahan 1,750 kematian pada September, menjadikan jumlah keseluruhan 5,310 kematian di negara yang mempunyai kira-kira 290 juta penduduk itu.
“Pada September sahaja, tahap pendedahan kepada pencemaran melebihi paras ambang tahunan PM2.5 yang ditetapkan WHO, lebih tujuh kali ganda di peringkat nasional, 10 kali ganda di Sumatera dan membimbangkan apabila mencecah 24 kali ganda di Kalimantan,” menurut laporan itu.
Lebih 330,000 kes jangkitan saluran pernafasan akut direkodkan di seluruh negara.
Berikutan kemarau yang semakin buruk akibat fenomena cuaca El Nino, Indonesia sejak beberapa bulan lalu bergelut untuk memadamkan kebakaran hutan yang menurut pemantau pembalakan hutan, Nusantara Atlas, memusnahkan lebih 1.9 juta hektar kawasan dalam tempoh sembilan bulan hingga September.
Jerebu akibat kebakaran itu menyebabkan paras pencemaran meningkat sehingga turut menjejaskan Malaysia, Singapura, Filipina dan Timor-Leste, sekali gus menjejaskan hubungan Indonesia dengan negara jirannya. – AFP
The post Lebih 3,000 maut akibat asap kebakaran hutan di Indonesia appeared first on Utusan Malaysia.




