
Pencemaran udara akibat asap yang berpunca daripada kebakaran hutan selama berbulan-bulan di seluruh Indonesia dianggarkan menyebabkan 3,560 kematian di negara kepulauan terbesar di Asia Tenggara itu sepanjang September lalu.
3,560 kematian dianggarkan
Jumlah itu dinyatanakan menerusi kajian terbaharu sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Helsinki, Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih (CREA).
Dalam tempoh sama, kira-kira 57.8 juta penduduk Indonesia dilaporkan terdedah kepada udara yang berada pada tahap tidak sihat hingga berbahaya, lapor AFP.

"Kemerosotan kualiti udara akibat kebakaran hutan dan tanah di Indonesia telah meningkatkan anggaran jumlah kematian kepada 3,560 kes pada September 2026, iaitu dua kali ganda berbanding anggaran pada Ogos," menurut kenyataan CREA pada Khamis.
Kajian CREA menganggarkan jumlah kematian akibat pendedahan jangka pendek kepada pencemaran zarah halus PM2.5, iaitu dalam tempoh beberapa hari.
Zarah PM2.5 cukup kecil untuk menembusi paru-paru atau memasuki aliran darah. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengaitkan pendedahan kepada zarah berkenaan dengan peningkatan risiko penyakit dan kematian pramatang.
Menurut laporan itu, kebanyakan kematian yang dianggarkan berlaku di wilayah Kalimantan di Pulau Borneo, selain Pulau Jawa, Sumatera dan kawasan timur Indonesia.
Penyelidik turut meneliti pencemaran udara yang bukan berpunca daripada kebakaran hutan, termasuk penjanaan tenaga elektrik, aktiviti perindustrian dan pengangkutan di kawasan bandar.
Hasil kajian mendapati pencemaran daripada sumber berkenaan dianggarkan menyebabkan 1,750 lagi kematian pada September, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat pencemaran udara di negara yang mempunyai kira-kira 290 juta penduduk itu mencecah 5,310 orang.

"Pada September sahaja, tahap pendedahan kepada PM2.5 melebihi garis panduan tahunan WHO sebanyak lebih tujuh kali ganda di seluruh negara, 10 kali ganda di Sumatera dan 24 kali ganda di Kalimantan," menurut laporan tersebut.
Baca juga:
"Potong Kabel Internet Indonesia? Singapura Juga Berisiko Lumpuh" - Respon Menteri Indonesia
Jerebu: Bekas Menteri Indonesia Kritik Gesaan Syed Saddiq Pulaukan Indonesia
Hairan Hujung 'Ditutup', Lelaki Indonesia Kongsi Beza Site Construction Malaysia, Indonesia
Sementara itu, lebih 330,000 kes jangkitan saluran pernafasan akut direkodkan di seluruh negara.
Jerebu yang terhasil daripada kebakaran itu turut menyebabkan tahap pencemaran udara meningkat sehingga menjejaskan negara jiran seperti Malaysia, Singapura, Filipina dan Timor-Leste, sekali gus menjejaskan hubungan Indonesia dengan negara-negara berkenaan.




