Lebih 30 Tahun Mengajar, Guru Ini Hanya Terima Gaji RM91 Sebulan & Dibayar 3 Bulan Sekali

8 Jul 2025 • 4:26 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kerjaya sebagai seorang guru bukanlah sesuatu yang mudah, ada sahaja cabaran yang harus ditempuhi dalam mendidik generasi muda.

Malah, di zaman ini, seorang pendidik tentunya berhadapan dengan situasi yang lebih mencabar apabila ada sesetengah ibu bapa yang lebih menyebelahi anaknya meskipun pelajar itu membuat kesalahan.

Maka wajarlah seorang guru menerima bayaran yang setimpal setelah mencurahkan ilmu dimiliki kepada anak-anak murid.

Guru di Indonesia hanya dibayar RM91 sebulan, tiga bulan sekali baru gaji masuk

Bagaimanapun, siapa sangka seorang guru di wilayah Sukabumi, Indonesia yang sudah lebih 30 tahun mengajar hanya diberi gaji sebanyak Rp350,000 (kira-kira RM91) sebulan, manakala gaji hanya dibayar tiga bulan sekali.

Memetik laporan Kompas.com, guru honorer yang dikenali sebagai Saryono berusia 55 tahun itu berkata, dia menerima gaji yang 100% bergantung kepada dana Bantuan Operasi Sekolah (BOS).

“Kalau gaji guru honorer dari sekolah sekarang ini cuma Rp350,000 setiap tiga bulan sekali, kerana bila dana BOS keluar baru ada gaji,” katanya.

Difahamkan, Saryono mula mengajar di Madrasah Ibtidaiyah Tegal Panjang, Desa Sidamulya, wilayah Ciemas sejak tahun 1992 dan ketika itu dia hanya berjalan kaki ke sekolah pada setiap hari.

Kini, Saryono bergantung kepada motosikal terpakai yang dibelinya tiga tahun lalu untuk menempuh perjalanan sejauh kira-kira tujuh kilometer ke sekolah, yang mengambil masa sehingga 30 minit.

Menurut warga pendidik itu, pada musim hujan jalan yang dilaluinya menjadi lebih teruk dan mencabar.

Gaji digunakan untuk tanggung isteri, anak-anak dan dua ipar

Jelas Saryono, gaji yang tidak seberapa diterimanya itu digunakan untuk menyara isteri dan anak-anaknya. Malah, dia juga perlu menjaga dua iparnya yang sudah tua dan tidak lagi mampu mengurus diri sendiri.

Menurut pendidik veteran itu lagi, dia juga terpaksa melakukan kerja sambilan dengan bercucuk tanam dan menjual hasil tanaman itu untuk mencari pendapatan sampingan.

“Untuk menampung semua ahli keluarga, saya menanam tanamam supaya isteri ada juga aktiviti di rumah, dia berniaga kecil-kecilan,” katanya lagi.

Apa itu guru honorer?

Menurut Detik News yang memetik Kamus Besar Indonesia, guru honorer adalah guru yang tidak menerima gaji seperti guru tetap, sebaliknya mereka mendapat honorarium (saguh hati) berdasarkan jumlah jam mengajar.

Ini jelas berbeza dengan guru tetap yang digaji setiap bulan dan mempunyai pendapat tetap.

Pelbagai usaha dilakukan Saryono untuk jadi penjawat awam

Berkongsi lanjut, Saryono berkata pelbagai usaha telah dilakukan olehnya agar dapat menjadi Pegawai Negeri Sipil (PNS) atau Pegawai Pemerintah dengan Perjanjian Kerja (PPPK).

Dia juga pernah menyertai pemilihan Guru Bantu Sekolah (GBS) pada tahun 2005 dan juga program pensijilan guru. Namun sehingga kini, dia masih belum pernah dilantik sebagai penjawat awam (ASN).

“Saya pernah ambil ujian untuk GBS, program pensijilan pun sudah, tapi belum juga dilantik sebagai PNS, masih belum ada berita,” ujarnya.

Kini di pertengahan usia, Saryono berharap agar segala jasa dan pengorbanannya selama berpuluh tahun dapat dipertimbangan oleh pihak kerajaan untuk melantiknya sebagai penjawat awam.