Lebih 300 Pelajar Perempuan Di Sekolah Menengah Di Seremban Jadi Mangsa Suntingan Gambar Bogel Guna AI, Turut Dijual Di Telegram

LocalTechnology
19 Oct 2026 • 10:08 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Lebih 300 Pelajar Perempuan Di Sekolah Menengah Di Seremban Jadi Mangsa Suntingan Gambar Bogel Guna AI, Turut Dijual Di Telegram

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dilihat semakin meluas pada masa kini, yang mana ia membantu meningkatkan produktiviti manusia. Bagaimanapun, ramai juga individu tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan teknologi AI ini.

Seperti semalam (18 Oktober), lebih 300 pelajar perempuan sekolah menengah di daerah Seremban dilaporkan menjadi mangsa suntingan gambar bogel menggunakan AI.

Menurut laporan Harian Metro, gambar aib mangsa bukan sahaja tersebar dalam kalangan pelajar sekolah terbabit, malah didakwa turut dijual menerusi platform Telegram.

Pelajar Jumpa Gambar Bogel Dalam Telefon Bimbit Yang Ditinggal Di Surau Sekolah

Jelas Peguam Ng Kian Nam, perbuatan terkutuk itu mula dikesan pada Ogos lalu selepas seorang pelajar menemukan telefon pintar tanpa kata laluan di surau sekolah terbabit sebelum menjumpai gambar lucah di dalamnya.

“Dalam kejadian 12 Ogos itu, pelajar tingkatan dua berkenaan kemudian menghantar gambar berkenaan ke Instagram kakaknya yang berusia 17 tahun.

“Gambar berkenaan adalah muka pelajar sekolah itu yang disunting tanpa pakaian menggunakan AI.

“Difahamkan pelajar ini meletakkan semula telefon berkenaan (di tempat asal) sebelum diambil guru disiplin sekolah,” katanya.

Pemilik Telefon Adalah Pelajar Form 5 Dari Sekolah Sama

Mengulas lanjut, pemilik telefoh disahkan merupakan seorang pelajar tingkatan lima dari sekolah yang sama.

“Susulan itu, lima laporan polis dibuat berhubung kejadian itu pada 20 Ogos lalu termasuk oleh ibu bapa pelajar yang menjumpai telefon berkenaan.

“Difahamkan, satu perjumpaan diadakan antara ibu bapa dan Lembaga Pengurus Sekolah (LPS) dan mereka bersetuju untuk menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS).”

Sekolah Turut Sahkan Lebih 300 Pelajar Perempuan Jadi Mangsa

Ng berkata pihak sekolah menerusi satu perjumpaan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) juga sudah mengesahkan bahawa lebih 300 pelajar menjadi mangsa kes suntingan gambar bogel itu.

“Pada 15 September lalu, satu perjumpaan antara ibu bapa, wakil (PIBG), LPS, pihak sekolah dan pegawai JPN diadakan.

“Dalam pertemuan ini, pihak sekolah mengaku dan mengesahkan terdapat lebih 300 mangsa yang terbabit dalam kes suntingan gambar bogel menggunakan AI itu,” katanya.

Pemilik Telefon Digantung Sekolah

Dalam pada itu, pelajar lelaki yang merupakan pemilik telefon telah digantung sekolah manakala pihak sekolah telah mengambil tindakan mengikut prosedur ditetapkan jabatan.

Pelajar Yang Jumpa Telefon Diminta Tandatangan Surat Akujanji Supaya Tak Dedahkan Tentang Kejadian – Peguam

Bagaimanapun beliau berkata, semua ibu bapa tidak dimaklumkan mengenai status gambar anak mereka dan tidak diberitahu kejadian sebenar yang berlaku.

“Ibu bapa pelajar yang menjumpai telefon bimbit juga tidak berpuas hati apabila dua anak mereka diminta untuk tandatangan satu surat akujanji supaya tidak mendedahkan kejadian itu sekiranya tidak mahu diambil tindakan,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, satu surat telah dihantar kepada Balai Polis Jalan Champbell, Seremban bagi menuntut satu siasatan yang lebih menyeluruh.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, pihaknya menerima lima laporan polis daripada ibu bapa berhubung penyebaran gambar wajah pelajar perempuan dari 20 hingga 23 Ogos lalu.

‘Teknologi Bawa Banyak Manfaat, Tapi Boleh Datangkan Mudarat Jika Disalahguna’ – Razdi Jidin

Kes suntingan dan penyebaran gambar bogel menggunakan AI telah mendapat perhatian ramai termasuk Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Dr Radzi Jidin. Menurut beliau di laman Threads, kemudahan teknologi mampu membawa mudarat jika tidak digunakan dengan sebaiknya.

“Polis sedang menyiasat lima laporan berhubung gambar wajah pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Seremban, Negeri Sembilan yang disunting menggunakan AI sehingga menyerupai gambar lucah.

“Anak-anak hari ini membesar dalam dunia yang jauh berbeza daripada zaman kita dahulu. Teknologi membawa banyak manfaat, tetapi jika disalahgunakan, ia boleh mendatangkan mudarat. 

View on Threads
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved