Lebih 4,000 rumah tidak terjual dikaji

15 Oct 2026 • 5:27 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lebih 4,000 rumah tidak terjual dikaji

IPOH – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Perak diminta menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti punca lambakan rumah tidak terjual di negeri ini dan merangka strategi menanganinya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, sebanyak 4,075 unit rumah tidak terjual direkodkan di Perak setakat Jun lalu, dengan daerah Kinta, Sitiawan dan Hilir Perak mencatatkan jumlah tertinggi.

“Dalam mesyuarat Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), kita beri tugas kepada Rehda Perak untuk menjalankan kajian kerana Rehda Institute turut mengkaji beberapa isu perumahan termasuk unit yang tidak terjual.

“Kita berharap dengan kajian yang dibuat oleh Rehda Institute, ditambah dengan kajian yang memperincikan keadaan di Perak, dapat membantu kita mengenal pasti cadangan dan strategi yang boleh dilaksanakan bagi menangani isu unit rumah yang tidak terjual,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2026 di Aeon Mall Kinta City, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Sandrea berkata, kajian itu penting bagi memastikan perancangan dan kelulusan pembangunan perumahan di negeri ini pada masa hadapan mengambil kira punca lambakan rumah tidak terjual.

Katanya, kajian itu juga bertujuan mengenal pasti punca masalah berkenaan bagi mengelakkan isu sama berulang dalam perancangan pembangunan akan datang khususnya di kawasan tertentu.

“Kita mahu lihat punca supaya dalam perancangan termasuk kelulusan bagi kerajaan negeri dan jabatan teknikal pada masa akan datang, tidak mengulangi perkara sama.

“Melalui kajian itu juga, kita berharap dapat mengenal pasti cadangan yang boleh membantu menangani masalah berkenaan kerana keadaan ini menyebabkan pembaziran unit kediaman, sedangkan masih ada orang awam yang belum memiliki rumah. Jadi, kita perlu mencari kaedah untuk memadankan unit rumah yang tersedia dengan keperluan pembeli,” katanya.

Dalam pada itu mengulas mengenai Insentif pengecualian duti setem bagi pembelian rumah pertama menerusi Belanjawan 2027, Sandrea berkata, langkah itu dapat membantu menangani isu rumah tidak terjual di negeri ini.

Malah katanya, langkah yang dicadangkan Kerajaan Persekutuan itu juga berpotensi menggalakkan transaksi hartanah, khususnya bagi unit kediaman yang masih belum terjual selepas dilancarkan. – KOSMO! ONLINE

The post Lebih 4,000 rumah tidak terjual dikaji appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved