“Lebih baik Tun M duduk IJN dulu.. Kalau di rumah, akan ingatkan lagi pada arwah bonda – Mukhriz

LocalPolitics
1 Oct 2026 • 11:49 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir merayu orang ramai agar memberi ruang dan masa kepada bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melalui tempoh dukacita susulan pemergian isteri tercinta, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Menurut Mukhriz, kehilangan insan yang telah menemani bekas Perdana Menteri itu selama 70 tahun memberi kesan mendalam dan beliau memerlukan masa untuk menerima hakikat tersebut.

“Tun Mahathir seperti mana yang kita boleh lihat, belum sampai seminggu menghadapi pemergian isteri kesayangan beliau yang telah bersama selama 70 tahun. Tentu akan mengambil masa untuk beliau betul-betul menerima hakikat bahawa Allahyarham bonda sudah tidak bersama kita lagi.
“Saya rasa apa yang berlaku sekarang sedikit sebanyak merupakan manifestasi kepada keadaan emosi dan kesihatan beliau,” katanya.

Image from: “Lebih baik Tun M duduk IJN dulu.. Kalau di rumah, akan ingatkan lagi pada arwah bonda – Mukhriz

Beliau berkata demikian selepas Majlis Bacaan Tahlil dan Yasin Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, pada Khamis.

Mukhriz turut menjelaskan bahawa berada di kediaman keluarga mungkin bukan sesuatu yang mudah buat bapanya kerana setiap sudut rumah mengingatkan beliau kepada Allahyarham.

Sehubungan itu, beliau berpandangan adalah lebih baik Tun Dr Mahathir berada di Institut Jantung Negara (IJN) buat sementara waktu sehingga keadaannya benar-benar pulih.

“Saya kira kalau duduk di rumah pun, setiap benda yang beliau pandang akan mengingatkan beliau kepada arwah bonda. Jadi mungkin lebih baik beliau berada di IJN dahulu sehingga betul-betul pulih.
“Hari ini pun beliau sudah pergi menziarahi pusara Allahyarham dan itu satu perkembangan yang baik,” katanya lagi.
Image from: “Lebih baik Tun M duduk IJN dulu.. Kalau di rumah, akan ingatkan lagi pada arwah bonda – Mukhriz

Kredit Foto: Kosmo! Online FAISOL MUSTAFA

Dalam pada itu, Mukhriz berharap semua pihak tidak memberikan tekanan berlebihan kepada bapanya, khususnya berkaitan keadaan emosi beliau ketika ini.

“Saya merayu sangat-sangat, kalau boleh jangan tekan beliau sangat untuk mengetahui keadaan emosi dan sebagainya.
“Bayangkan jika kita sendiri berada dalam situasi yang sama. Sudah tentu kita juga akan merasai kehilangan yang amat besar. Jadi berilah beliau sedikit ruang dan masa untuk pulih dengan sendiri,” katanya.

Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di IJN pada 28 September lalu, sekali gus mengakhiri lebih 70 tahun perkongsian hidup bersama Tun Dr Mahathir.

Sumber: Astro Awani (Syafiqa Azmi)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved