Mukhriz rayu beri ruang, masa kepada Tun Dr Mahathir

LocalFamily & Parenting
2 Oct 2026 • 7:18 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mukhriz rayu beri ruang, masa kepada Tun Dr Mahathir
Mukhriz Mahathir (kiri). Tun Dr Mahathir (kanan) ditenangkan ahli keluarga ketika menziarahi pusara isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara Presint 20 pada Khamis.
Image from: Mukhriz rayu beri ruang, masa kepada Tun Dr Mahathir
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kelihatan sedih ketika menziarahi pusara isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara Presint 20 pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Mukhriz Mahathir merayu orang ramai agar memberi ruang dan masa kepada bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melalui tempoh dukacita selepas kehilangan isteri tercinta, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Menurut Mukhriz, pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah masih memberi kesan mendalam kepada bekas Perdana Menteri itu dan proses untuk menerima kehilangan berkenaan memerlukan masa.

“Tun Mahathir seperti mana yang kita boleh lihat, belum sampai seminggu menghadapi pemergian isteri kesayangan beliau yang telah bersama selama 70 tahun.

"Tentu akan mengambil masa untuk beliau betul-betul menerima hakikat bahawa Allahyarham bonda sudah tidak bersama kita lagi.

“Saya rasa apa yang berlaku sekarang sedikit sebanyak merupakan manifestasi kepada keadaan emosi dan kesihatan beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Bacaan Tahlil dan Yasin Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara pada Khamis.

Mukhriz berkata, berada di kediaman keluarga juga bukan sesuatu yang mudah buat Tun Dr Mahathir kerana setiap sudut rumah mengingatkannya kepada Allahyarham.

Menurutnya, atas faktor itu, adalah lebih baik sekiranya Tun Dr Mahathir berada di Institut Jantung Negara (IJN) buat sementara waktu sehingga keadaan beliau benar-benar pulih.

“Saya kira kalau duduk di rumah pun, setiap benda yang beliau pandang akan mengingatkan beliau kepada arwah bonda. Jadi mungkin lebih baik beliau berada di IJN dahulu sehingga betul-betul pulih.

“Hari ini pun beliau sudah pergi menziarahi pusara Allahyarham dan itu satu perkembangan yang baik,” katanya.

**media[3665093]**

Sehubungan itu, Mukhriz berharap semua pihak dapat memahami keadaan yang sedang dilalui bapanya dan tidak memberi tekanan berlebihan berhubung keadaan emosi beliau ketika ini.

“Saya merayu sangat-sangat, kalau boleh jangan tekan beliau sangat untuk mengetahui keadaan emosi dan sebagainya.

“Bayangkan jika kita sendiri berada dalam situasi yang sama. Sudah tentu kita juga akan merasai kehilangan yang amat besar. Jadi berilah beliau sedikit ruang dan masa untuk pulih dengan sendiri,” katanya.

Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara pada 28 September lalu. Pemergian Allahyarhamah menamatkan lebih 70 tahun perkongsian hidup pasangan berkenaan yang sering dianggap antara pasangan paling dihormati dalam sejarah negara.- AWANI

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved