
PUTRAJAYA: Suasana hiba ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menziarahi pusara Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara, Presint 20, turut dirasai wartawan yang berada di lokasi.
Menerusi rakaman yang dikongsikan akaun TikTok CEO HANTU MALAYSIA®, suara wartawan yang sedang membuat liputan kedengaran sebak sehingga tidak dapat menahan tangisan ketika melihat Tun Mahathir berada di pusara isterinya.
Tun Mahathir tiba dari Institut Jantung Negara (IJN) sekitar jam 11 pagi sebelum meluangkan kira-kira 20 minit di pusara Allahyarham.
Beliau kemudian dilihat berdoa dan menaburkan bunga di atas pusara Tun Dr Hasmah.
Momen berkenaan turut mendapat perhatian orang ramai yang berada di lokasi, selain netizen yang menonton rakaman tersebut di media sosial.
Sebak Saksikan Tun M Tinggalkan Pusara
Suasana semakin mengundang rasa sebak apabila Tun Mahathir dilihat meninggalkan pusara selepas selesai berdoa dan menaburkan bunga.
Allahyarham Tun Dr Hasmah meninggal dunia pada jam 9.20 pagi, 28 September lalu di IJN pada usia 100 tahun sebelum dikebumikan di Pusara Negara pada hari sama.
Pasangan itu sebelum ini melalui kehidupan berumah tangga selama kira-kira tujuh dekad.
Di ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan rasa sebak selepas menonton rakaman berkenaan.
Ada yang menyatakan mereka berharap dapat melihat kehidupan rumah tangga seperti Tun Mahathir dan Tun Dr Hasmah, selain mendoakan agar Tun Mahathir terus diberikan kesihatan dan dipanjangkan umur.
“Harap-harap saya nak jadi macam Tun, setia dengan isteri sampai bila-bila,” tulis seorang pengguna.
Seorang lagi netizen pula berkata dia tidak sanggup melihat keadaan Tun Mahathir ketika itu, sambil meluahkan rasa sedih selepas beberapa hari melihat perkembangan mengenai pemergian Tun Dr Hasmah.
Ada juga yang mengakui sudah beberapa hari menangis setiap kali melihat video berkaitan Tun Dr Hasmah, manakala seorang pengguna menyifatkan dirinya turut sebak sehingga terasa di dada.
Rakaman berkenaan sebelum ini turut dikaitkan dengan TikTok Live Sinar Harian, yang melaporkan kunjungan Tun Mahathir ke pusara isterinya. Suasana hening di lokasi menyebabkan tangisan wartawan yang sedang membuat liputan turut kedengaran dalam siaran tersebut. – The Malaysian Update
The post Wartawan Sebak Ketika Liputan Tun M Ziarah Pusara Tun Hasmah appeared first on The Malaysian Update.





