Lebih dua minggu digantung, MYEG masih belum bayar tunggakan

LocalBusiness & Finance
22 Oct 2026 • 4:34 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lebih dua minggu digantung, MYEG masih belum bayar tunggakan

KUALA LUMPUR – My E.G. Sdn. Bhd. (MYEG) dan Zetrix AI Berhad masih belum menjelaskan tunggakan bayaran kepada kerajaan selepas lebih dua minggu perkhidmatannya sebagai ejen pemungut hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digantung.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, setakat hari ini bayaran berkenaan masih belum diterima pihak kementeriannya.

“Dari segi pembayaran, ia masih belum lagi,” katanya ringkas pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Projek Pengindahan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Anthony memberi jaminan penggantungan perkhidmatan MYEG tidak menimbulkan masalah kepada pengguna kerana terdapat saluran lain untuk melakukan urusan berkaitan JPJ.

Menurutnya, orang ramai masih boleh melakukan urusan termasuk pembayaran saman, pembaharuan cukai jalan dan lesen seperti biasa.

“Bukannya tidak ada pilihan. Tidak ada gangguan. Jadi, bagi pengguna-pengguna tidak ada masalah.

“Kita tidak menghadapi masalah pun dalam dua minggu ini. Kutipan saman, pembaharuan cukai jalan, pembaharuan lesen dapat diakses oleh orang ramai seperti biasa kerana ramai sekarang ini telah pun beralih kepada penggunaan aplikasi,” katanya.

Terdahulu, pada 5 Oktober lalu, Anthony dilaporkan berkata, perkhidmatan MYEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut hasil JPJ digantung selepas gagal memindahkan kutipan hasil kerajaan berjumlah RM314 juta bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September lalu.

Kementerian Pengangkutan dan JPJ sebelum itu mengadakan empat sesi libat urus serta mengeluarkan 35 notis peringatan dalam usaha mendapatkan semula kutipan berkenaan.

MYEG turut menyerahkan cek bernilai RM231 juta bertarikh 30 September sebagai penyelesaian tunggakan ketika itu, namun cek berkenaan tidak diproses oleh pihak bank atas arahan syarikat.

Anthony sebelum ini menegaskan, perkhidmatan MYEG hanya akan dipertimbangkan untuk disambung semula selepas tunggakan tersebut dilunaskan sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE

The post Lebih dua minggu digantung, MYEG masih belum bayar tunggakan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved