Zetrix AI masih belum bayar tunggakan RM314 juta hasil kutipan JPJ – Anthony Loke

LocalPolitics
22 Oct 2026 • 5:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Zetrix AI masih belum bayar tunggakan RM314 juta hasil kutipan JPJ – Anthony Loke Image from: Zetrix AI masih belum bayar tunggakan RM314 juta hasil kutipan JPJ – Anthony Loke sarah22/10/2026 - 17:45 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Okt - Zetrix AI Bhd masih belum membuat sebarang pembayaran bagi menjelaskan tunggakan RM314 juta hasil kutipan kerajaan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hampir tiga minggu selepas perkhidmatan syarikat itu sebagai ejen kutipan digantung.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, setakat ini tiada bayaran diterima daripada syarikat berkenaan, namun penggantungan perkhidmatannya tidak menjejaskan urusan pembayaran saman atau perkhidmatan JPJ yang lain.

 

"Dari segi pembayaran, mereka masih belum membuat bayaran. Perkhidmatan lain masih tersedia melalui MyJPJ. Ada pilihan lain," katanya kepada media selepas melancarkan Fasa Ketiga Projek Pengindahan Stesen LRT Masjid Jamek, hari ini.

 

Sebelum ini, DagangNews.com melaporkan bahawa Zetrix AI dan My E.G. Sdn Bhd gagal menyalurkan RM314 juta hasil kutipan kerajaan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September 2026 ke Akaun Terimaan Utama Pejabat Perakaunan Kementerian Pengangkutan.

 

Susulan itu, JPJ menggantung perkhidmatan kedua-dua syarikat sebagai ejen kutipan berkuat kuasa 5 Oktober 2026, selepas kementerian mengadakan empat sesi perbincangan dan mengeluarkan 35 peringatan berhubung tunggakan berkenaan.

 

Loke sebelum ini turut mendedahkan bahawa Zetrix mengeluarkan cek bernilai RM231 juta bagi menjelaskan tunggakan, namun pembayaran tidak dapat diproses selepas syarikat mengarahkan bank menghentikan pembayaran cek tersebut.

 

Pada 8 Oktober, Zetrix AI mengesahkan kepada Bursa Malaysia bahawa tunggakan RM314 juta itu telah direkodkan sebagai liabiliti dalam kunci kira-kiranya, selain memaklumkan bahawa perbincangan mengenai cadangan penyelesaian masih berlangsung dengan pihak berkuasa.

 

Isu berkenaan turut menjadi subjek siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seperti disahkan Zetrix AI dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 15 Oktober. Syarikat itu menyatakan operasinya tidak terjejas oleh siasatan berkenaan dan memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

 

Dalam perkembangan berasingan, Loke hari ini melancarkan Fasa Ketiga Projek Pengindahan Stesen LRT Masjid Jamek yang melibatkan pelaburan hampir RM5 juta bagi meningkatkan kemudahan serta persekitaran salah satu hab pertukaran rel utama di Kuala Lumpur.

 

Projek itu merangkumi penaiktarafan kawasan Jalan Benteng dengan ruang awam dan komersial, penambahbaikan pencahayaan di Jalan Tun Perak, peluasan elemen penghijauan serta sistem pandu arah di sekitar stesen yang menerima purata kira-kira 1.39 juta penumpang sebulan.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved