ALOR SETAR - Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Bohor di sini memperuntukkan masa lebih dua minggu untuk menyiapkan Jalur Gemilang gergasi berukuran lapan meter lebar dan 20 meter panjang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan.
Menariknya bendera gergasi berkeluasan 160 meter persegi itu dihasilkan sepenuhnya menggunakan kaedah jahitan fabrik tanpa membabitkan penggunaan cat.
Guru Besar SK Bohor, Hazrina Harun berkata, projek berkenaan tercetus secara spontan hasil perbincangan bersama guru dan mendapat sokongan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Menurutnya, seramai 27 guru dan tujuh AKP berganding bahu menjayakan projek berkenaan dengan jumlah kain digunakan dianggarkan mencecah 400 meter.
**media[3626623]**
"Guru-guru memberikan komitmen sangat tinggi apabila sanggup meluangkan masa selepas sesi persekolahan untuk menjahit bendera ini.
"Mereka mula bekerja seawal jam 2 petang hingga 7 malam, malah ada yang membeli kain sendiri, membawa mesin jahit ke sekolah dan menyambung kerja di rumah," katanya ketika ditemui sempena Sambutan Pra Ambang Kemerdekaan Hari Kebangsaan serta peluncuran bendera gergasi Jalur Gemilang di SK Bohor pada Rabu.
Hazrina berkata, kos keseluruhan penghasilan bendera itu dianggarkan sekitar RM1,000 dan menjadi simbol kedaulatan serta perpaduan dalam usaha menyemarakkan semangat cintakan negara.
Menurutnya, sebagai guru besar baharu, beliau menghargai komitmen luar biasa yang ditunjukkan mereka.
"Usaha ini diharapkan dapat menaikkan semangat patriotik dalam kalangan anak-anak murid termasuk 54 murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)," ujarnya.
Sementara itu, Guru Pra Sekolah PPKI SK Bohor, Mohd Tarmizi Rohani yang mengetuai projek itu berkata, cabaran utama adalah memastikan setiap jahitan kemas dan ukuran Jalur Gemilang dihasilkan dengan tepat.
Menurutnya, kedudukan bulan dan 14 bucu bintang pada bendera berkenaan perlu diukur serta dijahit dengan teliti bagi memastikan hasil akhirnya menyerupai Jalur Gemilang sebenar.
"Kami juga perlu memastikan setiap bahagian dijahit dengan kemas. Ada guru yang sanggup membawa mesin jahit sendiri ke sekolah, manakala baki helaian kain dibawa pulang untuk disambung jahit di rumah.
"Walaupun mengambil masa lebih dua minggu, semua ini berbaloi apabila melihat bendera gergasi ini siap dan dapat dikibarkan untuk tontonan orang ramai," katanya.
Jelasnya, kedudukan SK Bohor di laluan utama menuju ke pusat bandar raya dan hospital turut menjadikan bendera gergasi itu sebagai tarikan visual kepada pengguna jalan raya.
Beliau berkata, kibaran Jalur Gemilang berkenaan diharap dapat menyuntik semula semangat kemerdekaan dan rasa cinta akan negara dalam kalangan masyarakat yang melalui kawasan tersebut.
SK Bohor merupakan antara sekolah kecil di daerah Kota Setar dengan jumlah keseluruhan 258 murid, termasuk 54 murid PPKI.






