Lebihan dagangan Malaysia susut 58.8% kepada RM6.1 bilion pada November

LocalBusiness & Finance
19 Dec 2025 • 2:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lebihan dagangan Malaysia susut 58.8% kepada RM6.1 bilion pada November
image is not available
haziq19/12/2025 - 14:34 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Dis – Lebihan dagangan Malaysia menguncup ketara pada November apabila pertumbuhan import mengatasi eksport, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

DOSM berkata lebihan dagangan merosot 58.8% kepada RM6.1 bilion berbanding RM14.8 bilion pada tempoh sama tahun lalu, susulan lonjakan import yang lebih pantas berbanding eksport.

 

Pada bulan dikaji, import meningkat 15.8% tahun ke tahun kepada RM128.9 bilion, iaitu lebih dua kali ganda kadar pertumbuhan eksport yang naik 7% kepada RM135 bilion.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan eksport pada November didorong oleh pertumbuhan lebih tinggi eksport semula dan eksport domestik.

 

Menurutnya, eksport semula merangkumi 22% daripada jumlah eksport dan melonjak 40.3% kepada RM29.8 bilion, manakala eksport domestik yang menyumbang 78% mencatat pertumbuhan marginal 0.3% kepada RM105.2 bilion.

 

Dari segi produk, pertumbuhan eksport disokong oleh peningkatan penghantaran produk elektrik dan elektronik, peralatan optik dan saintifik, bijih logam dan sisa logam, produk perkilangan berasaskan minyak sawit, produk logam perkilangan serta jentera, peralatan dan alat ganti.

 

Menurut DOSM, mengikut destinasi, eksport lebih tinggi terutamanya ke Taiwan, China, Hong Kong, Kesatuan Eropah, Mexico, Singapura dan Vietnam.

 

Bagi import pula, Malaysia merekodkan peningkatan kemasukan barangan dari China, Costa Rica, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Taiwan, Oman dan Kesatuan Eropah.

 

Mohd Uzir berkata lonjakan import mencerminkan permintaan lebih tinggi bagi barangan modal dan barangan perantaraan. 

 

Import barangan modal melonjak 56.8% tahun ke tahun kepada RM20.8 bilion, manakala import barangan perantaraan meningkat 5% kepada RM66.4 bilion. Sebaliknya, import barangan penggunaan susut 1.7% kepada RM9.9 bilion.

 

Berbanding Oktober 2025, eksport menurun 9% manakala import meningkat marginal 0.7%. Jumlah dagangan keseluruhan susut 4.5% dan lebihan dagangan merosot 70% berbanding bulan sebelumnya.

 

Bagi tempoh Januari hingga November, jumlah dagangan Malaysia berkembang 5.8% tahun ke tahun kepada RM2.8 trilion, disokong oleh peningkatan eksport 6.1% dan import 5.6%. 

 

Lebihan dagangan kumulatif turut mengukuh 10.7% kepada RM132.6 bilion. - DagangNews.com

Terkini standard