Lebuh raya pintar pacu mobiliti masa hadapan, mudahkan pengguna 

LocalCars
3 Sep 2026 • 8:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lebuh raya pintar pacu mobiliti masa hadapan, mudahkan pengguna 

PETALING JAYA: Setiap hari, kira-kira enam juta kenderaan menggunakan rangkaian lebuh raya di Semenanjung Malaysia.

Bagi kebanyakan pengguna, lebuh raya memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian, sama ada untuk ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, menjalankan perniagaan atau pulang ke kampung.

Kini, Malaysia mempunyai 34 lebuh raya bertol sepanjang 2,151 kilometer yang dikendalikan oleh 28 syarikat konsesi.

Bagaimanapun, apabila jumlah kenderaan terus meningkat, cabaran untuk menguruskan lebuh raya juga menjadi semakin kompleks.

Pengguna kini bukan sahaja menginginkan tempoh perjalanan yang lebih singkat, mereka juga mahukan lebuh raya yang lebih selamat dan selesa untuk kegunaan harian.

Oleh itu, pembangunan lebuh raya masa hadapan tidak lagi boleh dinilai hanya berdasarkan panjang jajaran atau bilangan lorong.

Sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai sebuah ekosistem mobiliti yang menggabungkan infrastruktur fizikal, teknologi digital, pengurusan trafik, sistem pembayaran moden dan tindak balas kecemasan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, rangkaian lebuh raya memberikan manfaat besar kepada rakyat.

Walaupun pengguna perlu membayar tol, beliau berkata, perjalanan melalui lebuh raya lazimnya lebih singkat, teratur dan selamat berbanding laluan biasa.

“Lebuh raya bukan sekadar jalan yang menghubungkan satu destinasi ke destinasi lain, tetapi menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan, pelancongan dan pembangunan wilayah.

“Lebuh raya dalam bandar membantu mengurangkan kesesakan, manakala lebuh raya antara bandar menjadi penghubung utama antara negeri bagi melancarkan pengangkutan barangan dan logistik serta merancakkan kegiatan sosial dan ekonomi,” katanya.

Ahmad Maslan berkata, meskipun rangkaian lebuh raya terus dibangunkan, kerajaan tidak pernah mengabaikan kepentingan jalan biasa.

Katanya, kerajaan turut menyediakan peruntukan yang tinggi untuk membina, menaik taraf dan menyelenggara Jalan Persekutuan serta Jalan Negeri demi kemudahan pengguna.

TEKNOLOGI URUS ALIRAN TRAFIK

Pengurusan trafik hari ini tidak lagi bergantung kepada rondaan fizikal semata-mata, sebaliknya disokong oleh penggunaan teknologi dan penyampaian maklumat secara masa nyata.

Menerusi Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (TMC LLM), keadaan trafik dipantau selama 24 jam melalui integrasi 873 kamera televisyen litar tertutup (CCTV) dan 277 papan tanda mesej boleh ubah atau Variable Message Sign (VMS).

Ahmad Maslan berkata, kemudahan itu membolehkan LLM dan syarikat konsesi mengesan insiden, menyalurkan amaran kepada pengguna serta menyelaras bantuan dengan lebih pantas.

“CCTV berkenaan dipaparkan di TMC LLM dan petugas boleh memilih lokasi tertentu serta melihat dengan lebih dekat keadaan sebelum dan selepas sesuatu insiden berlaku. “Ini merupakan antara komponen lebuh raya pintar yang memudahkan LLM mengatur dan mengurus perjalanan pengguna,” katanya.

Menurut beliau, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat trafik menerusi media sosial LLM, talian bebas tol 1-800-88-7752 dan aplikasi navigasi TuJU.

“Selain menyediakan navigasi dan anggaran waktu ketibaan, aplikasi TuJu turut mempunyai kemudahan pengiraan kadar tol, maklumat kawasan rehat dan rawat (R&R), paparan kamera trafik serta platform bantuan kecemasan,” katanya.

Pada masa hadapan, kerajaan dan LLM merancang memperluas penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) bagi meramal aliran kenderaan dan mengesan kesesakan lebih awal.

Ahmad Maslan berkata, memorandum persefahaman antara LLM dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memperkukuh liputan telekomunikasi di sepanjang lebuh raya turut menjadi langkah penting ke arah merealisasikan ekosistem berkenaan.

“Ketersambungan yang stabil membolehkan maklumat mengenai kesesakan, kemalangan, penutupan lorong atau kerja penyelenggaraan disampaikan kepada pengguna dengan cepat dan tepat,” katanya.

KESELAMATAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA 

Walaupun lebuh raya semakin moden dan canggih, sikap pengguna masih menjadi cabaran utama dalam usaha mengurangkan kemalangan. 

Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pada 2011,  sebanyak 80.6 peratus kemalangan berpunca daripada kelalaian manusia, 13.2 peratus disebabkan keadaan jalan dan 6.2 peratus lagi melibatkan faktor kenderaan.

Ahmad Maslan berkata, sikap seperti memandu melebihi had laju, memandu semasa mengantuk, memotong secara berbahaya dan memandu perlahan di lorong kanan bukan sahaja mengganggu kelancaran trafik, malah meningkatkan risiko kemalangan.

“Walau sehebat mana infrastruktur yang dibina, jika sikap pengguna tidak berubah, risiko kemalangan tetap ada kerana keselamatan jalan raya ialah tanggungjawab bersama.

“Pengguna juga perlu mematuhi arahan petugas dan tidak memperlahankan kenderaan semata-mata untuk melihat kemalangan kerana perbuatan itu boleh menyebabkan kesesakan tiruan serta mencetuskan kemalangan susulan,” katanya.

Menurut beliau, setiap lebuh raya diwajibkan mempunyai Pelan Tindakan Kecemasan sebagai panduan kepada syarikat konsesi dalam mengurus kejadian luar jangka.

Katanya, pasukan rondaan lebuh raya sentiasa bersedia untuk mengalihkan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan supaya aliran trafik dapat dipulihkan secepat mungkin.

“Sekiranya keseluruhan laluan terhalang, laluan kontra boleh dibuka atau pengguna diarahkan keluar melalui persimpangan terdekat sebelum memasuki semula lebuh raya di persimpangan seterusnya.

“Tindakan itu bergantung kepada keadaan trafik, tempoh kerja pengalihan kenderaan dan tahap kejadian,” katanya.

The post Lebuh raya pintar pacu mobiliti masa hadapan, mudahkan pengguna  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved