Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) mengumumkan bahawa kesemua enam lebuh raya di bawah pengurusannya kini beralih sepenuhnya kepada sistem pembayaran elektronik. Ini bermakna pengguna boleh membayar tol menggunakan kad debit dan kredit, selain kaedah sedia ada seperti kad Touch ‘n Go, SmartTAG dan RFID melalui lorong yang disediakan.

Pembayaran secara tunai tidak lagi diterima maka pengguna perlu memastikan bahawa mereka mempunyai baki yang mencukupi dalam kaedah pembayaran yang digunakan sebelum memulakan perjalanan.
Empat lebuh raya terbaru yang melaksanakan sistem ini bermula 1 Mei 2025 ialah Lebuhraya Kemuning–Shah Alam (LKSA), Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).
Melaluinya, terdapat 10 lorong pembayaran terbuka di SUKE, lapan di SILK, enam di DASH, dan empat di LKSA yang membolehkan pengguna memilih kaedah pembayaran elektronik yang sesuai dengan keperluan mereka.

Sebelum ini, dua lebuh raya lain iaitu AKLEH dan GCE telah memperkenalkan sistem pembayaran terbuka sejak September 2023. Secara keseluruhan, terdapat 36 lorong yang menggunakan sistem ini menerusi enam lebuh raya Prolintas.



