Lebuhraya Pan Borneo Sabah belum siap selepas 10 tahun, MP mohon PAC siasat

LocalPolitics
17 Oct 2026 • 4:46 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Lebuhraya Pan Borneo Sabah belum siap selepas 10 tahun, MP mohon PAC siasat

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis, memohon Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memulakan siasatan segera berhubung kelewatan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 yang masih belum disiapkan selepas 10 tahun dirancang.

Permohonan itu dikemukakan menerusi surat rasmi yang diserahkan sendiri kepada Pengerusi PAC, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur hari ini, susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 bertarikh 5 Okt.

Isnaraissah berkata, beliau tidak berniat mencari pihak untuk dipersalahkan, sebaliknya mahu mengetahui punca sebenar kelewatan projek berkenaan supaya kelemahan yang dikenal pasti dapat diperbetulkan dan tidak berulang.

“10 tahun. Itu tempoh rakyat Sabah menunggu Lebuhraya Pan Borneo yang dijanjikan sejak 2015.

“Saya tidak mencari sesiapa untuk disalahkan. Saya mahu tahu apa yang tidak kena supaya ia dibetulkan, wang rakyat dijaga dan dijadikan pengajaran,” katanya berhubung penyerahan surat berkenaan.

Menurutnya, projek berkenaan amat penting kepada rakyat Sabah kerana bukan sekadar membabitkan pembangunan infrastruktur jalan raya, malah berkait rapat dengan masa depan negeri itu serta generasi akan datang.

“Pan Borneo Sabah ini adalah tentang masa depan kami, anak-anak dan cucu-cucu kami di Sabah,” katanya.

Dalam surat bertarikh 15 Okt itu, Isnaraissah memaklumkan LKAN 2/2026 mendapati projek Fasa 1 yang dirancang sejak 2015 masih belum disiapkan selepas sedekad, susulan kelemahan ketara dalam aspek perancangan dan pelaksanaan.

Beliau berkata, kelemahan berkenaan dilaporkan berterusan walaupun pengurusan projek beralih daripada rakan pelaksana projek (PDP) kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) pada 22 Sept 2019.

Sehubungan itu, beliau berpandangan siasatan PAC perlu merangkumi keseluruhan perjalanan projek berkenaan, bermula daripada perancangan awal pada 2015 sehingga kedudukan terkini seperti yang dilaporkan pada 5 Okt 2026.

Katanya, penelitian menyeluruh penting bagi mengenal pasti kelemahan yang berlaku, menilai langkah pengurusan yang diambil serta memastikan wang rakyat digunakan secara bertanggungjawab.

Projek berkenaan membabitkan peruntukan berjumlah RM24.89 bilion, sekali gus menjadikan penelitian terhadap pengurusan, pelaksanaan dan kemajuannya penting kepada kepentingan awam, khususnya rakyat Sabah.

Isnaraissah berharap permohonan itu mendapat perhatian PAC supaya isu kelewatan berkenaan dapat diteliti secara menyeluruh, dengan penekanan terhadap usaha mengenal pasti punca masalah dan langkah pembetulan yang sewajarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat Sabah berhak mengetahui perkembangan projek infrastruktur berskala besar itu, termasuk faktor yang menyebabkan pelaksanaannya mengambil masa begitu lama.

Menurutnya, hasil siasatan bukan sahaja penting untuk menjelaskan persoalan berhubung kelewatan projek, malah boleh dijadikan panduan bagi memperbaiki pengurusan projek pembangunan kerajaan pada masa hadapan.

Permohonan itu diharap membuka ruang kepada penelitian lebih mendalam terhadap pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 demi memastikan kepentingan rakyat dan pengurusan wang awam terus diberi keutamaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved