hamden04/08/2026 - 14:31 Pengurus Portfolio Franklin Templeton, Jonathan Curtis Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Ogos - Penurunan kos kecerdasan buatan (AI) dijangka mempercepatkan penggunaannya secara meluas merentasi pelbagai industri, namun nilai terbesar tidak semestinya akan dikuasai oleh syarikat yang membangunkan model paling pintar, sebaliknya oleh pemain yang mampu menterjemahkan kecerdasan tersebut kepada hasil kerja yang boleh dipercayai dan bernilai kepada perusahaan.
Firma penyelidikan Franklin Templeton berkata, kemajuan pantas model AI sumber terbuka yang semakin murah untuk diakses, tidak bermakna peluang ekonomi AI akan menyusut.
Sebaliknya, ia dijangka memperluaskan pasaran apabila syarikat menggunakan AI untuk menyelesaikan lebih banyak tugasan, mengautomasikan proses dan meningkatkan produktiviti operasi.
"Perusahaan pada akhirnya tidak membeli kecerdasan berdasarkan jumlah token yang digunakan, tetapi membeli hasil kerja yang mampu memberikan impak sebenar seperti pembangunan kod yang berjaya dilaksanakan, penyelesaian isu pelanggan, penyelidikan yang menghasilkan pandangan bernilai serta keputusan perniagaan yang boleh dipertanggungjawabkan.
"Oleh itu, ukuran ekonomi yang lebih relevan bukanlah kos setiap token, tetapi kos untuk menyelesaikan sesuatu tugasan secara tepat, selamat dan konsisten," kata Pengurus Portfolio Jonathan Curtis.

Lapisan Sistem Sokongan
Model AI yang lebih murah mungkin memerlukan lebih banyak percubaan, pengesahan tambahan serta campur tangan manusia sebelum menghasilkan keputusan akhir. Sebaliknya, model lebih mahal mungkin mampu menyelesaikan tugasan dengan tepat pada percubaan pertama, sekali gus mengurangkan kos keseluruhan.
Justeru, nilai AI dijangka beralih daripada model asas kepada lapisan sistem yang mengelilinginya, termasuk infrastruktur, data proprietari, aliran kerja, tadbir urus, keselamatan dan kepercayaan.
"Lapisan sokongan (harness) yang menghubungkan model dengan data syarikat, alat operasi, kawalan akses, proses penilaian dan pengawasan manusia dijangka menjadi faktor pembezaan utama dalam menentukan kejayaan penggunaan AI di peringkat perusahaan.
"Walaupun syarikat boleh menggantikan model AI yang digunakan dari semasa ke semasa, sistem sokongan yang dibina berdasarkan pengetahuan organisasi, logik operasi dan rekod prestasi boleh terus dikekalkan," tambah Jonathan.
Keadaan itu tambahnya lagi menjadikan ekosistem di sekeliling model AI berpotensi lebih bernilai apabila teknologi model semakin mudah digantikan.
Murah Dorong Lebih Perbelanjaan
Menurut Jonathan, penurunan kos kecerdasan dijangka mewujudkan kesan peningkatan penggunaan atau dikenali sebagai Paradoks Jevons.
"Apabila sesuatu sumber menjadi lebih murah dan cekap digunakan, jumlah penggunaannya boleh meningkat dengan lebih pantas berbanding penurunan kos seunit.
"Dalam konteks AI, satu tugasan tradisional mungkin hanya memerlukan satu permintaan dan satu jawapan, tetapi aliran kerja berasaskan ejen AI (agentic workflow) boleh melibatkan puluhan hingga ratusan interaksi model bagi merancang tindakan, mendapatkan maklumat, menguji pilihan, membetulkan kesilapan dan mengesahkan hasil akhir," ujarnya.
Situasi itu dijangka mendorong syarikat menggunakan AI untuk lebih banyak fungsi termasuk meningkatkan perkhidmatan pelanggan, mempercepat pertumbuhan, memperbaiki proses membuat keputusan serta meningkatkan kecekapan operasi.
"Pemain yang mempunyai keupayaan mengurus pelbagai model AI juga dijangka berada dalam kedudukan lebih baik berbanding syarikat yang bergantung kepada satu model sahaja.
"Sistem yang fleksibel mampu memilih model terbaik berdasarkan keperluan tugasan dari segi kualiti, kos, kelajuan, keselamatan dan kebolehpercayaan, sekali gus membolehkan perusahaan menggunakan model berprestasi tinggi untuk tugasan kompleks dan model lebih kecil untuk kerja rutin," jelasnya.
Bagi pelabur, persoalan utama dalam era AI bukan lagi sekadar syarikat mana memiliki model paling hebat, tetapi siapa yang mampu menukar kecerdasan yang semakin melimpah kepada kerja lengkap yang dipercayai pada kos keseluruhan paling rendah.
"Syarikat yang mampu menterjemahkan kecerdasan tersebut kepada kerja yang dipercayai dan boleh dijelaskan secara cekap akan memperoleh nilai terbesar dalam gelombang AI seterusnya," jelas Jonathan. - DagangNews.com





