SELEPAS lebih empat dekad meninggalkan pentas persaingan bola sepak, legenda Harimau Malaya, Datuk Abdah Alif, 72, kini memulakan lembaran baharu dalam kehidupan apabila selamat diijabkabulkan pada 27 Ogos lalu.
Perkara itu disahkan adiknya, Datuk Yunus Alif yang turut mendoakan agar perkahwinan berkenaan membawa kebahagiaan berpanjangan buat bekas pemain kebangsaan tersebut.
Perkahwinan tersebut mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan selepas beberapa gambar Abdah bersama pasangannya yang difahamkan berusia 20 tahun tersebar di media sosial.
Yunus yang juga bekas pemain dan jurulatih kebangsaan berkata, perkahwinan Abdah bersama pasangan pilihan hatinya itu mendapat restu kedua-dua keluarga.
"Alhamdulillah, mereka baru sahaja bernikah pada 27 Ogos lalu. Kedua-dua keluarga sudah bersetuju dan merestui perkahwinan ini. Kita doakan semoga mereka berdua bahagia," katanya.
Menurutnya, Abdah difahamkan ketika ini meluangkan masa bersama pasangan selepas melangsungkan pernikahan, menyebabkan beliau tidak dapat menjawab panggilan telefon.
"Mungkin sekarang mereka sedang berbulan madu, sebab itu dia tidak menjawab panggilan. Apa yang pasti, mereka memang sudah bernikah dan kita doakan yang terbaik buat kedua-duanya," katanya.
Yunus pada masa sama menitipkan doa agar ikatan yang dibina abangnya itu terus berkekalan serta dikurniakan kebahagiaan hingga ke akhir hayat.
"Semoga mereka terus bahagia dan kekal bersama hingga ke Jannah," katanya.
Abdah merupakan antara nama besar dalam sejarah bola sepak negara, khususnya ketika era kegemilangan Harimau Malaya pada penghujung 1970-an dan awal 1980-an.
Beliau antara pemain yang membantu Malaysia melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Moscow 1980 selepas skuad negara menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi penentuan.
Abdah ketika itu berada dalam satu generasi emas yang cukup disegani dan beraksi bersama barisan legenda seperti Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh serta Datuk Jamal Nasir Ismail.
Bagaimanapun, impian untuk beraksi di pentas Olimpik tidak kesampaian apabila Malaysia mengambil keputusan memboikot Sukan Olimpik Moscow 1980 sebagai tanda bantahan terhadap pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.
Kini, selepas sekian lama meninggalkan dunia persaingan bola sepak, Abdah kembali menjadi perhatian peminat, kali ini menerusi berita bahagia mengenai kehidupan peribadinya.
Dengan restu kedua-dua keluarga, Yunus berharap perkahwinan legenda Harimau Malaya itu menjadi ikatan yang berkekalan serta terus dilimpahi kebahagiaan hingga ke Jannah.






