
JOHOR BAHRU: Bapa kandung kepada seorang bayi berusia 18 bulan yang dipercayai maut dibunuh kira-kira tiga tahun lalu ditahan selepas pihak polis mengklasifikasikan semula kes kematian mangsa.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, laporan awal berhubung kejadian itu dibuat seorang doktor yang bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini pada 13 September 2023.
Katanya, mangsa dibawa ke hospital oleh bapanya yang berusia 40 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum pemeriksaan mendapati terdapat kesan cedera lebam di pinggang, perut menggelembung serta bengkak pada bahagian dubur.
“Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 10.40 pagi hari sama. Pada peringkat awal, polis klasifikasi kes mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki berlaku pengabaian sehingga menyebabkan kematian mangsa.
“Sepanjang siasatan dibuat, seramai 13 individu termasuk ahli keluarga dan keluarga pengasuh mangsa dipanggil bagi membantu siasatan selain mengambil sampel darah untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
“Bagaimanapun, analisis Jabatan Kimia gagal mengenal pasti suspek kerana kesan cecair yang dipercayai air mani ditemui pada bahagian dubur mangsa tidak mencukupi untuk dianalisis dan dibuat perbandingan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah Ab. Rahaman, bagaimanapun, siasatan yang diteruskan menyaksikan bapa kandung mangsa dan bapa saudaranya yang berusia 35 tahun masing-masing ditahan pada 8 dan 22 Julai lalu.
“Semakan mendapati bapa kandung mangsa yang bekerja sebagai buruh di Singapura tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Bapa saudara mangsa pula mempunyai 13 rekod jenayah lampau, manakala ujian urin mendapati suspek positif ganja,” katanya.
Beliau turut memberitahu, penemuan baharu kes berkenaan tidak menolak kemungkinan mangsa telah diliwat oleh bapa kandungnya namun perkara itu masih dalam siasatan.
“Hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit milik bapa kandung mangsa turut menemukan gambar dan video lucah. Susulan perkembangan itu, kes diklasifikasi semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.
“Suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan, manakala bapa saudara mangsa yang dibebaskan akan menjadi saksi pendakwaan,” katanya.-UTUSAN
The post Lelaki 40 tahun ditahan, bantu siasatan bunuh anak kandung tiga tahun lalu appeared first on Utusan Malaysia.






