Lelaki warga Indonesia mengamuk di KLIA ditahan reman empat hari

28 Jul 2026 • 2:56 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lelaki warga Indonesia mengamuk di KLIA ditahan reman empat hari

SEPANG: Seorang lelaki warga Indonesia ditahan selepas didakwa bertindak agresif, mengeluarkan kata-kata kesat serta ingkar arahan pegawai bertugas dalam kejadian di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam semalam.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan selepas mencetuskan kekecohan di kaunter transit aras empat Terminal 1 kira-kira pukul 7 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati selepas penerbangan yang dijadualkan membawanya pulang ke Indonesia ditunda selama lima jam.

“Suspek dipercayai mengeluarkan kata-kata kesat, ugutan dan provokasi terhadap kakitangan syarikat penerbangan yang bertugas berhubung penundaan penerbangan tersebut.

“Pihak kawalan keselamatan terminal yang hadir bagi meredakan keadaan kemudian membawa suspek ke Pejabat Imigresen Malaysia Terminal 1, namun lelaki itu bertindak lebih agresif, berkelakuan tidak senonoh serta ingkar arahan yang diberikan oleh pegawai imigresen bertugas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, suspek kemudiannya ditahan oleh anggota Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA untuk tindakan lanjut.

Ravi berkata, suspek turut ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Menurutnya, hasil semakan mendapati lelaki terbabit sepatutnya menaiki penerbangan pulang ke Indonesia pada pukul 3 petang semalam.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Sepang hari ini dan mahkamah membenarkan permohonan reman selama empat hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil, Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana mengingkari arahan penjawat awam serta Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan perkataan lucah atau tidak senonoh di tempat awam.

Jelasnya lagi, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan pihak keselamatan dan petugas lapangan terbang bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan keselamatan, ketenteraman dan kelancaran operasi di Terminal KLIA 1 dan KLIA 2 sentiasa terpelihara,” katanya.-UTUSAN

The post Lelaki warga Indonesia mengamuk di KLIA ditahan reman empat hari appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved