
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini tular di media sosial beberapa video kekecohan yang berlaku ketika sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Putrajaya.
Menerusi video tular, kelihatan seorang lelaki berbaju oren melakukan provokasi terhadap petugas dan orang ramai yang sedang menunggu pagar untuk dibuka kepada orang awam.
Hantaran tersebut nyata mendapat perhatian hingga ramai yang geram dan mahu tindakan sepatutnya diambil terhadap lelaki tersebut.
View on Threads
Lelaki Disyaki Cetus Provokasi Telah Ditahan, 5 Laporan Telah Diterima
Terbaharu, lelaki yang bekerja sebagai tukang masak itu ditahan polis selepas disyaki membuat provokasi ketika sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya awal pagi pada 31 Ogos lalu.
Dia yang berusia 30 tahun itu ditahan di Putrajaya pada tengahari semalam (1 September).
Ia susulan lima laporan yang dibuat terhadapnya kerana melakukan provokasi supaya merempuh pagar tempat duduk untuk menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan 2026.
Dia didakwa telah membuat provokasi menyebabkan orang yang berada berhampirannya merempuh barisan hadapan untuk merebut tempat duduk tersebut.
Akibat kejadian rempuhan itu, beberapa mangsa telah dilaporkan mengalami kecederaan selepas terjatuh kerana ditolak.
Penahanan itu juga disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.
“Ya, kita telah menahan lelaki berbaju oren ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Suspek Direman Selama Satu Hari Untuk Bantu Siasatan
Suspek kemudiannya direman selama sehari bagi membantu siasatan.
Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan pihak polis.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed mendedahkan pihaknya telah meminta lelaki berkenaan untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi membantu siasatan.
Ia selepas pihaknya mengesan video tular yang memaparkan seorang lelaki tempatan berbaju oren atau coklat dipercayai melakukan provokasi serta merempuh dan menolak orang awam yang sedang menunggu pembukaan pagar tempat duduk sehingga berlaku tolak-menolak menyebabkan beberapa individu terjatuh.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5 pagi pada 31 Ogos lalu.
Baca Artikel Berkaitan: Isu Video Provokasi: TikTok & MCMC Akan Jalin Kerjasama Bantu Bendung Kandungan Berbaur Provokasi & Ekstremis
Baca Artikel Berkaitan: MCMC & PDRM Panggil Pengurusan TikTok Untuk Beri Penjelasan Isu Video Provokasi Berbayar






