
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 40 tahun yang melakukan khianat dengan membakar kereta bapanya, dipenjara dua tahun dan didenda RM1,000 atau penjara dua bulan.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu terhadap Md Fariddey Md Zailanih, selepas dia mengaku bersalah kepada pertuduhan terhadapnya pada Jumaat.
Dia melakukan kesalahan itu dengan membakar kereta milik bapanya yang berusia 60 tahun pada 11 Mac tahun ini pada jam 1.30 tengah hari di sebuah rumah di Kg Pirasan, Kota Belud.
Kesalahan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah mendengar bahawa Md Fariddey telah membakar kereta bapanya selepas dia ditegur kerana berkelakuan seperti “penagih dadah”.
Md Fariddey yang tidak dapat menerima teguran itu, menuang petrol ke atas kereta bapanya dan membakarnya menggunakan pemetik api.
Kereta yang diletakkan di hadapan rumah mereka hangus namun pasukan bomba sempat memadamkan api daripada merebak.
Bapanya kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan Md Fariddey ditahan susulan laporan itu.
Semasa siasatan polis, ujian air kencing Md Fariddey didapati negatif dadah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tham Pou Jin
manakala Md Fariddey tidak diwakili peguam.
Dalam kes lain, seorang lelaki berusia 26 tahun dipenjara lima tahun dan dikenakan satu sebatan kerana mengambil syabu secara berulang.
Mohd Azlee Ramlee mengaku mengambil dadah itu selepas air kencingnya disahkan positif dadah pada 10 pagi 13 Dis 2022 di Balai Polis Kudat, dan dia mempunyai dua rekod sabitan lampau kerana mengambil dadah.
Selepas menjalani hukuman penjara, Mohd Azlee diperintah untuk diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
