
LANGKAWI – Perjalanan seorang lelaki warga Bangladesh untuk menghantar sayur ke pasar menggunakan kereta jenis Mercedes-Benz terbantut apabila ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Padang Matsirat, di sini semalam.
Warga asing berusia 38 tahun itu ditahan penguat kuasa JPJ menerusi Ops Luxury kira-kira pukul 12 tengah hari.
Ketika diperiksa, lelaki tersebut dikatakan dalam perjalanan untuk menjual hasil tanamannya kepada pihak ketiga di pasar basah berkenaan.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, pemeriksaan mendapati warga asing itu tidak memiliki lesen memandu yang sah selain cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans sejak 26 Julai lalu.
Susulan itu, katanya, kereta mewah tersebut disita untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan mendapati kereta itu miliknya sendiri dan dipercayai digunakan sejak Mei tahun lalu,” katanya hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki Bangladesh pandu Mercedes tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh appeared first on Kosmo Digital.






