
Seorang lelaki yang didakwa menjalankan kutipan bayaran parkir secara haram di Jalan Klang Lama, ditahan polis selepas berlaku kekecohan ketika lawatan penguatkuasaan di kawasan berkenaan hari ini.
Menurut hantaran Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, lelaki terbabit didakwa kembali menjalankan kutipan bayaran parkir walaupun tindakan penutupan telah dikenakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 4 Ogos lalu.
Beliau berkata, sebelum ini DBKL dan pihak penguatkuasaan telah melakukan lawatan tapak pada 4 Ogos dan tindakan penguatkuasaan turut diambil terhadap aktiviti berkenaan.
Bagaimanapun, kutipan bayaran parkir secara haram itu didakwa kembali beroperasi sehingga mencetuskan pertikaian ketika Teresa bersama beberapa ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) berada di lokasi hari ini.
Baca juga:
Premis di Kulai ditutup selepas Jalur Gemilang, bendera Johor dipasang terbalik
Caprice diperintah mohon maaf, bayar RM220,000 kepada Ebit Lew
Polis Pahang nafi dakwaan kartel dadah besar beroperasi di Genting Highlands
Dalam kejadian itu, lelaki terbabit dipercayai mempertikaikan kehadiran Teresa dan mempersoalkan pihak yang memberikan kebenaran kepada beliau untuk berada di kawasan tersebut.
“Kalau nak bergaduh, bergaduh kat luar sebab ini kawasan aku punya tempat kerja, kau jangan sibuk,” katanya.
Situasi kemudiannya menjadi lebih tegang apabila lelaki berkenaan didakwa menyerang salah seorang ahli MPP yang berada di lokasi.
“Lu bos ke, gua bos?” katanya sambil ditenangkan beberapa individu.
Susulan kejadian itu, polis dipanggil ke tempat kejadian sebelum lelaki berkenaan ditahan untuk tindakan lanjut.
Teresa sebelum ini mendakwa individu terbabit telah mengingkari arahan penutupan DBKL pada 4 Ogos dan kembali menjalankan aktiviti kutipan bayaran parkir tanpa kebenaran.
The post ‘Lu bos ke, gua bos?’ – Lelaki ditahan selepas menyerang MPP Seputeh appeared first on The Reporter.






