
Kota Kinabalu: Seorang lelaki penganggur yang tidak mempunyai dokumen dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Selasa daripada tuduhan mengedar 1,166.22 gram syabu tanpa dipanggil membela diri.
Pesuruhjaya Kehakiman Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad memerintahkan Asmadin Abdurahim dilepas dan dibebaskan selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Bagaimanapun Asmadin diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut kerana tidak mempunyai dokumen.
Asmadin didakwa mengedar dadah berkenaan pada kira-kira jam 2.30 petang, 1 Oktober 2023 di kawasan parkir di hadapan Pasar Besar Lama Kota Belud.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali.
Kira-kira lima saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan.
Timbalan Pendakwa Raya Amira Khalili mengendalikan pendakwaan manakala Edward Paul mewakili Asmadin.
Sementara itu seorang wanita berusia 60 tahun didakwa di Mahkamah Majistret kerana menyebabkan kecederaan terhadap menantunya.
Foo Ming Chu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.
Foo didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap lelaki berusia 37 tahun itu pada jam 7 malam, 16 Jun lalu di sebuah rumah di Taman Prestige Resident, Manggatal.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 14 Oktober ini untuk pengurusan kes sebelum perbicaraan dan membenarkan Foo dibebaskan dengan jaminan RM1,300 dengan dua penjamin tempatan.
Foo turut diberi amaran supaya tidak mengganggu atau mempengaruhi pengadu dalam kes berkenaan.






