
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing berusia 54 tahun cedera parah selepas ditetak dengan parang oleh individu tidak dikenali ketika sedang bekerja di sebuah syarikat penjualan kereta terpakai di Jalan Kuda Emas, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi, mangsa dipercayai diserang ketika berada di premis berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Lim Chun How berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.52 pagi.
Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa bahagian badan lain.
“Mangsa kini dalam keadaan separa kritikal dan sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Canselor Tuanku Muhriz,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kejadian dipercayai bermotifkan cubaan mencuri bateri kenderaan dan polis kini giat mengesan suspek untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 03-9205 0222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki parah ditetak individu tidak dikenali appeared first on Kosmo Online.






