
MELAKA – Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki berbogel yang didakwa cuba melarikan dua kanak-kanak berusia 10 dan dua tahun dalam dua kejadian berasingan di Taman Ayer Molek, di sini, malam tadi.
Suspek berusia 36 tahun itu turut mempunyai satu rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 8 malam apabila suspek dalam keadaan berbogel dilihat menaiki kenderaan milik pengadu yang diletakkan di pekarangan rumah di Taman Ayer Molek.
Katanya, anak lelaki pengadu berusia 10 tahun bagaimanapun sedang menunggunya di dalam kenderaan tersebut dan pengadu segera meminta kanak-kanak itu keluar melarikan diri.
“Pengadu kemudian telah menarik suspek keluar dari kereta berkenaan, namun lelaki itu bertindak agresif dan enggan beredar dari kawasan tersebut.
“Pengadu terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Halim berkata, dalam kejadian berasingan, seorang lagi pengadu bersama isteri dan anak perempuannya berusia dua tahun turut terserempak dengan suspek di kawasan simpang Taman Ayer Molek.
Katanya, suspek didakwa cuba merampas telefon bimbit milik isteri pengadu sebelum tiba-tiba bertindak memegang anak perempuan mereka.
“Pengadu cuba mendapatkan semula anaknya sehingga berlaku pergelutan dengan suspek dan telah dibantu oleh orang awam sehingga pihak polis tiba di lokasi.
“Anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Melaka Tengah telah menahan semula suspek kira-kira pukul 8.20 malam dan pemeriksaan mendapati lelaki itu mengalami kecederaan di bahagian kepala,” ujarnya.
Tambahnya, suspek telah dibawa ke Balai Polis Tiang Dua dan saringan awal ujian air kencing mendapati lelaki tersebut positif THC (tetrahydrocannabinol) atau ganja.
Beliau berkata, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 6 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 14(a) AKSTK 2017, Seksyen 324 serta Seksyen 377D Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki berbogel cuba larikan dua kanak-kanak ditahan appeared first on Kosmo Online.






