Kes Buli SMK Za’aba: Suspek Pertama Didakwa Pernah Buli 5 Pelajar Lain

30 Sep 2026 • 1:03 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kes Buli SMK Za’aba: Suspek Pertama Didakwa Pernah Buli 5 Pelajar Lain

KUALA PILAH - Suspek pertama yang ditahan berhubung kematian seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’aba, di sini didakwa pernah membuli lima pelajar lain.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, bagaimanapun berdasarkan keterangan awal keluarga mangsa, mangsa yang maut iaitu Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, tidak pernah memaklumkan kepada keluarganya bahawa dia dibuli di sekolah.

"Lima pelajar tampil memaklumkan bahawa mereka pernah dibuli oleh suspek pertama (B1). Setakat ini, seramai 69 saksi sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Daripada jumlah itu, 53 adalah pelajar, empat guru, tiga warden, enam ibu bapa, dua doktor dan seorang jurulatih tinju,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Sementara itu, Alzafny berkata suspek pertama dan kedua merupakan pelajar Tingkatan Empat di sekolah sama, malah kedua-duanya dan mangsa merupakan anggota pasukan memanah sekolah.

“Siasatan mendapati suspek kedua (B2) menendang mangsa sebanyak enam kali ketika pertemuan awal sebelum membawa mangsa berjumpa suspek pertama (B1),” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek merupakan pelajar lelaki berusia 16 tahun dan masing-masing kini direman sehingga 1 dan 3 Oktober.

Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Idlan dipercayai dipukul menggunakan hos getah dan tangan di asrama sekolah berkenaan.

Alzafny dilaporkan berkata, kejadian berlaku selepas solat Maghrib pada 25 September, ketika mangsa sepatutnya menghadiri sesi ulang kaji di asrama.

Menurutnya, mangsa dipanggil suspek kedua ke asrama pelajar senior di Blok A sebelum dia dipercayai dipukul. - Getaran, 30 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved