
RANTAU PANJANG: Tindakan seorang lelaki membuka membuka kawat berduri untuk memasuki Malaysia melalui pangkalan haram Azizah di sini selepas bercuti dari Thailand membawa padah apabila ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA), malam tadi.
Lelaki berusia 56 tahun dari Jerteh, Terengganu itu ditahan pada pukul 6.50 petang selepas PGA mengesan perbuatan tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa melalukan rondaan rutin anggota bertugas mengesan kelibat seorang lelaki menaiki perahu dari arah Thailand menghampiri tebing sungai pangkalan haram tersebut.
Katanya, lelaki berkenaan dilihat membuka kawat berduri sebelum memasuki Malaysia.
“Bagaimanapun, pengemudi pemandu perahu bertindak melarikan diri sejurus menyedari kehadiran polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, serbuan kedua di pangkalan haram Pok Su Rani, pihaknya telah menahan seorang lelaki dari Kota Bharu selepas memasuki Malaysia menggunakan laluan tidak sah.
Katanya, lelaki berkenaan memaklumkan dia ke negara itu untuk melawat ahli keluarga yang sakit.
“Kedua-dua lelaki itu diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah IPD Pasir Mas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” ujarnya.-UTUSAN
The post Lelaki buka kawat berduri untuk masuk Malaysia selepas bercuti dari Thailand ditahan appeared first on Utusan Malaysia.






