Sanggup 'redah' kawat berduri demi masuk Malaysia selepas bercuti di Thailand

18 Oct 2026 • 8:36 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sanggup 'redah' kawat berduri demi masuk Malaysia selepas bercuti di Thailand
Gara-gara mahu pulang ke Malaysia selepas bercuti di Thailand dan melawat keluarga yang sakit, dua lelaki sanggup membuka kawat berduri di pangkalan haram Sungai Golok sebelum tindakan mereka dikesan anggota PGA pada Sabtu.Foto:PGA

RANTAU PANJANG – Gara-gara mahu pulang ke Malaysia selepas bercuti di Thailand dan melawat keluarga yang sakit, dua lelaki sanggup membuka kawat berduri di pangkalan haram Sungai Golok sebelum tindakan mereka dikesan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Sabtu.

Kedua-dua lelaki berusia 56 dan 61 tahun itu ditahan dalam dua operasi berasingan menerusi Op Taring Wawasan di pangkalan haram Azizah dan Pok Su Rani di sini, masing-masing pada jam 6.50 petang dan 7.10 malam.

Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, kedua-dua tangkapan dilakukan anggota Strike Force Sektor A Rantau Panjang, Kompeni C Batalion 9 PGA dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Menurut beliau, dalam kejadian pertama, anggota bertugas yang melakukan pemerhatian di pangkalan haram Azizah mengesan seorang lelaki membuka kawat berduri untuk memasuki Malaysia dari arah Thailand.

"Anggota kemudian menghampiri tebing sungai berkenaan sebelum menahan lelaki terbabit dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dengan menunjukkan kad kuasa.

"Pemandu perahu yang membawanya dari Thailand melarikan diri menuju ke negara itu sebaik menyedari kehadiran pihak polis," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Ujar beliau, lelaki berkenaan yang berasal dari Jerteh, Terengganu, memaklumkan bahawa dia pergi ke Thailand untuk bercuti sebelum memasuki Malaysia melalui pangkalan haram berkenaan.

Menurutnya, dalam kejadian kedua kira-kira 20 minit kemudian, anggota PGA mengesan perbuatan sama di pangkalan haram Pok Su Rani.

Kata Ahmad Radzi, lelaki yang ditahan dalam operasi itu berasal dari Kota Bharu dan memaklumkan bahawa dia ke Thailand untuk melawat ahli keluarga yang sakit sebelum pulang ke Malaysia melalui laluan tidak diwartakan berkenaan.

"Kedua-dua tangkapan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah IPD Pasir Mas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved