
TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang lelaki berusia 37 tahun kerana membunuh seorang wanita yang mayatnya ditemukan separuh bogel di kawasan semak di Lahad Datu, tiga tahun lalu.
Md Ridzuan Abd Ahmad Zaini Logan yang hanya memiliki sijil kelahiran dijatuhi hukuman oleh Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos dengan hukuman itu dikira bermula dari tarikh dia ditangkap.
Ridzuan mengaku bersalah membunuh Sirlin Salleh, 36, yang bekerja sebagai pembuat roti canai di kawasan semak di Kampung Pisang, Lahad Datu antara jam 6 pagi dan 8 pagi pada 14 November 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 35 hingga 40 tahun serta 12 sebatan jika hukuman mati tidak dikenakan, apabila disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal termasuk hukuman penjara maksimum 40 tahun.
Beliau berkata keadaan sekitar kematian mangsa amat mengerikan, kejam dan tidak berperikemanusiaan, dengan mangsa diserang, diseret melalui rumput panjang, dirogol, mulutnya diikat dan kemudian dibunuh.
“Mangsa merupakan seorang wanita yang cuba membantu suaminya menambah pendapatan bagi menyara keluarga dengan kembali bekerja hanya enam bulan selepas melahirkan anak.
“Tindakan tertuduh bukan sahaja meragut nyawa seorang ibu malah menyebabkan trauma kepada anak sulungnya yang menerima panggilan daripada majikan ibunya memaklumkan bahawa mangsa gagal hadir bekerja dan kemudian mengetahui bahawa ibunya telah dibunuh,” katanya.
Nur Nisla berkata Ridzuan ditangkap pada 17 November 2024, tepat setahun selepas kejadian pembunuhan itu kerana kesalahan lain.
Beliau berkata ini bermakna Ridzuan hidup kira-kira setahun selepas membunuh mangsa seolah-olah tiada apa-apa berlaku.
Bagaimanapun, peguam bela Kamarudin Mohmad Chinki memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun bermula dari tarikh tangkapan dan 12 sebatan dengan mengambil kira pengakuan bersalah Ridzuan terhadap kesalahan paling serius di bawah Kanun Keseksaan.
Beliau berkata pengakuan bersalah itu menunjukkan Ridzuan menerima tanggungjawab atas kematian mangsa selain menjimatkan masa dan kos semua pihak daripada perbicaraan penuh, di samping mengelakkan saksi serta keluarga mangsa daripada terpaksa mengimbau semula kejadian itu.
Kamarudin berkata pengakuan itu merupakan faktor mitigasi penting, selain usia Ridzuan, pendidikan formal yang terhad, lima anak, rasa kesal dan penerimaan tanggungjawab.
Beliau berkata Ridzuan merupakan anak ketujuh daripada 10 beradik manakala bapanya telah meninggal dunia dan pendidikan formalnya terhenti ketika Tahun Dua sekolah rendah.
Katanya, pendidikan Ridzuan yang terhad mengehadkan peluang pekerjaannya dan dia tidak bekerja sebelum ditangkap.
Pasangannya, yang tidak dinikahinya secara rasmi, telah kembali ke Semenanjung Malaysia untuk bekerja manakala lima anak mereka yang tidak mempunyai dokumen sah dijaga oleh keluarga Ridzuan.
Fakta kes menunjukkan mayat mangsa ditemukan di kawasan semak berhampiran pokok pisang, ditutupi daun pisang kering dan dalam keadaan separuh bogel selepas keluarganya mencarinya di sepanjang laluan biasa mangsa ke tempat kerja.
Siasatan termasuk kenyataan Ridzuan sendiri dan bukti forensik mendapati mangsa dirompak dan dirogol sebelum dibunuh selepas terserempak dengan Ridzuan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

![[VIDEO] ‘Macam nak roboh hang ketuk pintu rumah aku’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-02-at-8.29.15-PM-1024x568.jpeg)




