Lelaki ceroboh kediaman, curi dompet dalam kereta diberkas

12 Nov 2026 • 11:52 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki ceroboh kediaman, curi dompet dalam kereta diberkas
Tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan seorang lelaki menceroboh kawasan kediaman di sini sambil dilihat cuba memecah masuk sebuah rumah sebelum dilihat mencuri sesuatu dalam sebuah kenderaan.

KAJANG - Seorang lelaki diberkas selepas dipercayai terlibat dalam kejadian mencuri dompet milik seorang individu di Taman Rakan, Cheras, di sini pada Rabu.

Suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kira-kira jam 10 malam hasil maklumat dan risikan dijalankan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 10.15 pagi hari sama.

Menurutnya, mangsa menyedari kehilangan dompet yang disimpan di dalam kenderaannya kira-kira jam 8 pagi.

"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki tidak dikenali memasuki kawasan rumah mangsa sebelum mengambil dompet berkenaan.

"Dompet itu mengandungi kad pengenalan serta kad ATM dan debit milik mangsa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan seorang lelaki menceroboh kawasan kediaman di sini sambil dilihat cuba memecah masuk sebuah rumah sebelum dilihat mencuri sesuatu dalam sebuah kenderaan.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Modenas Kriss dan topi keledar berwarna hitam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes berkenaan.

"Suspek dibawa ke Mahkamah Kajang pada Khamis dan perintah reman selama sehari dibenarkan oleh Majistret bagi membantu siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohamad Zamri Mohamad Nor menerusi talian 010-2848 761 bagi membantu siasatan.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved