Lelaki China tidak mengaku culik wanita senegara

10 Sep 2026 • 1:32 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lelaki China tidak mengaku culik wanita senegara

ALOR SETAR – Seorang lelaki warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik wanita warganegara sama, bulan lalu.

Tertuduh, Wang Hao, 27, dari Dazhou, Sichuan membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, dia bersama empat orang lagi yang masih bebas didakwa menculik mangsa yang berusia 33 tahun dengan niat untuk mengurungnya secara rahsia dan salah di sebuah rumah di Jalan Amira 2, Taman Amira di Langgar, di sini kira-kira pukul 8.40 malam, 7 Ogos lalu.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan yang didakwa mengikut seksyen itu tidak boleh dijamin, selain lelaki warga asing itu berisiko untuk melarikan diri.

Walau bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Mohd. Shakir Esrati memohon mahkamah supaya membenarkan jaminan dan pihaknya bersedia dengan dua penjamin warganegara Malaysia.

Selain itu, pihaknya juga bersedia sekiranya mahkamah mengenakan sebarang syarat tambahan termasuk melapor di balai polis atau mengenakan jumlah jaminan lebih tinggi.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan diberikan kepada tertuduh dan menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Kosmo! pada 9 Ogos lalu melaporkan operasi menyelamatkan dua mangsa culik bertukar tegang apabila dua suspek melepaskan tembakan ke arah polis sebelum kedua-duanya maut ditembak dalam serbuan di Taman Amira, di sini pada 7 Ogos lalu.

Polis berjaya menyelamatkan lelaki warga Singapura berusia 72 tahun dan wanita warga China berusia 33 tahun yang ditemukan dalam keadaan mata ditutup serta tangan bergari, selain merampas dua pistol, satu revolver dan sebilah parang.

Susulan beberapa serbuan, polis menahan enam individu dan siasatan mendapati sindiket itu dipercayai memerangkap mangsa dengan tawaran kerja bergaji lumayan sebelum menculik mereka bagi mendapatkan wang tebusan SG$1 juta (RM3.2 juta). – KOSMO! ONLINE

The post Lelaki China tidak mengaku culik wanita senegara appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved