
SEBERANG PERAI – Lima suspek termasuk seorang wanita direman empat hari bagi membantu siasatan kes penculikan seorang lelaki yang mayatnya ditemukan berikat kaki dan tangan di dalam tangki kumbahan di sebuah rumah di Taman Seri Bistari, Nibong Tebal, di sini, semalam.
Kesemua suspek berusia lingkungan 30-an itu diperintahkan menjalani tahanan reman bermula hari ini hingga Ahad oleh Majistret J Savinder Singh bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian semalam, mayat seorang lelaki dipercayai berusia lingkungan 50-an ditemukan dalam tangki kumbahan di bahagian belakang rumah teres setingkat, berhampiran dapur selepas polis menerima maklumat daripada jiran yang mengesan bau busuk dari kawasan terbabit.
Mangsa dipercayai telah berada dalam tangki kumbahan itu sekurang-kurangnya dua hari sebelum mayatnya dikeluarkan oleh pihak polis dengan bantuan anggota bomba.
Siasatan awal turut mendapati keluarga mangsa sebelum ini membuat laporan orang hilang di daerah Seberang Perai Tengah.
Sebelum itu, anak saudara mangsa membuat laporan selepas mendapati wang tunai RM30,000 dipindahkan daripada akaun bank mangsa ke akaun sebuah kedai runcit di Sungai Bakap pada Isnin lalu.
Pemilik kedai runcit berkenaan dipercayai kemudian diarahkan memindahkan wang tersebut ke sebuah bank di Myanmar. – KOSMO! ONLINE
The post Lima suspek direman culik lelaki, ikat mayat dalam tangki kumbahan appeared first on Kosmo Online.






