
MELAKA – Seorang pemandu kren didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan memukul teman wanitanya sehingga mangsa patah tangan kanan di tanah perkuburan, bulan lalu.
Tertuduh, A. Ramesh, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada seorang wanita berusia 31 tahun dengan menggunakan kayu yang merupakan alat untuk memukul.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada pukul 3 pagi di kawasan tempat pembakaran mayat di tanah perkuburan India Jelutong di Batu Berendam Melaka dalam daerah Melaka Tengah, 22 Ogos lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Difahamkan tertuduh telah membawa mangsa ke tempat kejadian dan memukulnya di bahagian badan serta tangan kanan wanita terbabit sehingga patah.
Tindakan tersebut dikatakan berpunca daripada rasa cemburu apabila tertuduh menyangka kekasihnya itu mempunyai hubungan dengan lelaki bernama Naresh.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rif’ah Izzati Abdul Mutalif mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dikenakan berserta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.
Tertuduh bagaimanapun tidak membuat sebarang rayuan dengan alasan tiada wakil daripada pihaknya yang hadir di mahkamah untuk membuat jaminan.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan bersetuju dengan syarat dipohon pihak pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Oktober depan. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki didakwa belasah kekasih di tanah perkuburan appeared first on Kosmo Digital.






