MELAKA - Seorang pemandu kren mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Isnin atas pertuduhan mencederakan teman wanitanya menggunakan kayu di sebuah tanah perkuburan, bulan lalu.
Tertuduh, A Ramesh, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa, 31, dengan menggunakan kayu sebagai alat untuk memukul.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 3 pagi pada 22 Ogos 2026 di kawasan tempat pembakaran mayat di Tanah Perkuburan India Jelutong, Batu Berendam, Melaka Tengah.
Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
**media[3639388]**
Difahamkan, ketika kejadian tertuduh membawa mangsa ke lokasi berkenaan sebelum memukulnya menggunakan objek berkenaan pada bahagian badan dan tangan kanan.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami patah tulang dan diberikan cuti sakit selama 30 hari.
Timbalan Pendakwa Raya, Rif'ah 'Izzati Abdul Mutalif menawarkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi serta perlu melapor diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun tidak mengemukakan rayuan berhubung jumlah jaminan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 Oktober depan.





