
SEREMBAN – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Jenayah di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh isterinya yang juga pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) sebelum mayat mangsa ditemukan di kediaman mereka di Kompleks Perumahan Penjawat Awam, Nilai pada 15 Oktober lalu.
Tertuduh, Mohd Khairudin Safi’ai, 37, yang beralamat di Kampung Tebing, Pengkalan Kubor, Tumpat hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Norhazwani Ibrahim di kediaman mereka di K06 E-2 13, Kelompok 6, Kompleks Perumahan Penjawat Awam KLIA, Nilai, kira-kira pukul 7 malam pada 15 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah juga boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang 12 kali.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, memohon tarikh sebutan bagi membolehkan laporan bedah siasat dikemukakan.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA, Norhazwani, 35, maut dipercayai ditikam suaminya dalam kejadian di kediaman pasangan itu di Kompleks Perumahan Penjawat Awam, Nilai, kira-kira pukul 8 malam pada 15 Oktober lalu.
Selepas kejadian, tertuduh yang mempunyai dua anak berusia lima dan enam tahun dilaporkan menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat tekanan pada leher, selain terdapat kesan tikaman di bahagian perut dan pipi. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki didakwa bunuh isteri, sebutan semula 22 Disember depan appeared first on Kosmo Online.






