
SEREMBAN – Abang sulung Allahyarham Norhazwani Ibrahim, 35, hadir di Mahkamah Seremban, hari ini bagi mengikuti prosiding kes kematian adiknya yang dipercayai dibunuh suami sendiri di Kompleks Perumahan Penjawat Awam, Nilai, 15 Oktober lalu.
Amran Ibrahim, 59, berkata, keluarganya bersyukur kerana segala urusan menguruskan jenazah Allahyarham dipermudahkan dengan bantuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan dan arwah adik sudah selamat dikebumikan.
“Hari ini saya datang dari Batu Caves bagi mengikuti prosiding kes. Setakat ini, keluarga sebelah suspek masih belum berjumpa dengan keluarga kami.
“Saya juga berpesan kepada adik-adik yang lain supaya banyakkan bersabar. Kita perlu redha ketentuan Allah SWT, dia (Norhazwani) pun sudah tiada,” katanya ketika ditemui di pekarangan luar mahkamah.
Dalam perkembangan berkaitan, dua anak perempuan Allahyarham yang masing-masing berusia lima dan enam tahun buat masa ini diletakkan di bawah jagaan ibu saudara mereka daripada keluarga sebelah arwah.
Allahyarham Norhazwani yang bertugas sebagai pegawai AKPS dipercayai dibunuh suaminya di kediaman mereka di Kompleks Perumahan Penjawat Awam, Nilai, pada 15 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Pegawai AKPS dibunuh suami: ‘Keluarga suspek masih belum jumpa kami’ appeared first on Kosmo Online.






