Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Seorang lelaki dari Uttar Pradesh ditahan pihak berkuasa selepas didakwa memalsukan kematiannya sendiri menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta membakar seekor kambing semata-mata mahu mengelak perbicaraan kes bunuh!
Menurut laporan NDTV, suspek yang dikenali sebagai Rajkumar Rajbhar, 38, dicekup polis pada Ahad lalu selepas hidup bebas selama setahun setengah berbekalkan sijil kematian palsu yang diserahkan kepada mahkamah.
Artikel berkaitan : Palsukan Sijil Kematian Isteri Sebab Nak Poligami, Lelaki Putih Mata Lepas Dipenjara 8 Bulan
Artikel berkaitan : Sebar Berita Palsu Ahli Keluarga Mati Kerana Covid-19, Lelaki Ini Dijatuhkan Hukuman Penjara & Sebat
Plot licik: Guna gambar AI & bakar kambing sebagai pengganti mayat

Sebelum ini, Rajbhar dikatakan sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh seorang individu bernama Yogesh Singh, mangsa mati ditembak berhampiran landasan kereta api di Munshipura pada 19 Disember 2016.
Kes terbabit didaftarkan terhadap Rajbhar bersama rakannya, Sudarshan Rajbhar susulan laporan polis dibuat oleh anak saudara mangsa, Avinash Singh.
Namun, ketika prosiding perbicaraan berjalan, pihak suspek mula mengatur helah dengan mereka-reka cerita kononnya Rajbhar sudah meninggal dunia demi melepaskan diri daripada tindakan undang-undang.
Polis mendedahkan rancangan licik itu diatur di Ghazipur pada 30 Mei 2025. Rajbhar menggunakan gambar janaan AI yang memaparkan ‘mayatnya’ sedang terbaring di atas timbunan kayu untuk upacara pembakaran mayat.
Bukan itu sahaja, polis mengatakan seekor kambing turut dibakar bagi menggantikan mayat manusia. Bagi memastikan lakonan itu nampak meyakinkan, gambar perarakan pengebumian dan upacara persemadian terakhir turut dipalsukan.
Berpandukan dokumen dan bukti palsu terbabit, Majlis Perbandaran Mau mengeluarkan sijil kematian rasmi yang kemudiannya dikemukakan terus kepada pihak mahkamah.
Kantoi selepas setahun setengah ‘hidup bebas’

Walau bagaimanapun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Rajbhar yang sebelum ini berada dalam tempoh jaminan akhirnya berjaya dikesan dan ditahan oleh polis Kotwali Nagar bersama Kumpulan Operasi Khas (SOG) serta pasukan pengawasan di kawasan Khwajajahanpur pada jam 9 pagi Ahad.
Siasatan mendapati Rajbhar bekerja sebagai pedagang saham walaupun tidak lulus peperiksaan Tingkatan 6. Timbalan Superintendan Polis, Anoop Kumar berkata:
“Dia didakwa mengumpul dana hasil daripada perdaya individu berpengaruh di beberapa bandar, dengan mendakwa wang itu akan dilaburkan dalam pasaran saham.
“Selain mengelak tindakan undang-undang dalam kes bunuh, motif Rajbhar memalsukan kematian juga bagi mengelak daripada memulangkan wang berkenaan.”
Akibat tembelangnya yang sudah pecah, pihak berkuasa kini menambah satu lagi pertuduhan terhadap Rajbhar berkaitan pemalsuan dokumen rasmi, manakala perbicaraan kes pembunuhan terdahulu tetap akan diteruskan.
Sumber : NDTV
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






![Kes Bunuh Irene Sofiya: “Saya Peluk Fiya Sambil Ajar Ucap Kalimah Syahadah” – Nenek [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/Pelajar-maut-disyaki-dibunuh.jpg?t=1791089312)