
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 42 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada Rabu atas pertuduhan mencederakan isterinya.
Chin Chee Hung mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, 38, dengan menumbuk mangsa kira-kira jam 10 malam, 9 September lalu di sebuah rumah di Taman Bintang, Luyang.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua kali ganda hukuman maksimum bagi kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap pasangan atau anggota keluarga tertentu.
Mahkamah menetapkan 11 November ini untuk pengurusan kes sebelum perbicaraan dan membenarkan Chin dibebaskan dengan ikat jamin RM2,600 dengan dua orang penjamin.
Dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 43 tahun dijatuhi hukuman penjara tiga bulan kerana mencuri.
Rudy Hamzah mengaku bersalah mencuri beg milik Yakarias Irawan yang mengandungi antara lain, sebuah komputer riba, cakera keras, sembilan pemacu pena, pengecas, power bank, beberapa dokumen, cop, pakaian dan barangan peribadi pada jam 11.15 pagi, 24 Ogos lalu di sebuah hotel di Jalan Pantai.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan bahawa kira-kira jam 10.23 pagi pada hari kejadian, pengadu mendaftar keluar dari hotel selepas meninggalkan beg galas berwarna hitam di sebelah kerusi berhampiran kaunter penerimaan tetamu ketika dia pergi ke mesin ATM untuk mendapatkan wang bagi menjelaskan baki bil.
Apabila kembali pengadu mendapati beg berkenaan telah hilang.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki yang tidak dikenali mengambil beg berisi barangan berkenaan dengan jumlah kerugian dianggarkan RM6,500 sebelum meninggalkan hotel.
Polis kemudian menahan Rudy di sebuah premis di Kompleks Karamunsing pada 26 Ogos lalu berhubung kes berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Hafizah Anggu mengendalikan pendakwaan.





