Seorang lelaki yang didakwa mencetuskan provokasi sehingga berlaku insiden tolak-menolak ketika Sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya, Isnin lalu, direman selama satu hari bermula hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas permohonan dibuat pihak polis.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi mengesahkan perintah reman berkenaan.
“Suspek direman selama satu hari bermula hari ini. Belum pasti bila akan tuduh, kena tunggu Timbalan Pendakwa Raya dahulu,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Polis Terima Empat Laporan
Semalam, polis meminta lelaki yang tular berhubung kejadian itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Putrajaya bagi membantu siasatan.
Aidi Sham sebelum ini dilaporkan berkata, lelaki terbabit diminta tampil memberikan keterangan selepas pihaknya menerima empat laporan berkaitan kejadian provokasi tersebut.
Suspek didakwa merempuh dan menolak orang awam yang sedang menunggu pembukaan pagar tempat duduk sehingga menyebabkan berlaku tolak-menolak dan beberapa individu terjatuh.
Disiasat Mengikut Tiga Peruntukan
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Setakat ini, belum dapat dipastikan bila suspek akan didakwa di mahkamah kerana perkara tersebut masih menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya. – KOSMO
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Anak Kecil, Wanita Jadi Mangsa Hempap Rusuhan, Individu Buat Laporan Polis Terhadap Lelaki Tular - "Siap Boleh Gelak-Gelak Lagi"
The post Lelaki Didakwa Cetus Provokasi Sambutan Hari Kebangsaan Direman Sehari first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






