
KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 33 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada Isnin atas pertuduhan mengedar 573.14 gram dadah jenis 3, 4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA).
Tiada pengakuan direkodkan daripada Muhamad Hamado Abd Jafar selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Tertuduh didakwa mengedar dadah tersebut pada 3 Jun lalu kira-kira jam 7.15 malam di hadapan sebuah klinik di kawasan Taipan, Inanam.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 15 sebatan jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memohon satu tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan kimia.
Pendakwaan turut memaklumkan bahawa tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh kerana kesalahan yang dihadapinya tidak mempunyai peruntukan jaminan.
Mahkamah menetapkan 6 Ogos depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan ahli kimia dan memerintahkan Hamado terus ditahan reman.
Dalam kes berasingan seorang wanita berusia 25 tahun didenda RM1,000 atau penjara tiga bulan kerana memiliki peralatan berkaitan perjudian.
Brenda Victor mengaku bersalah memiliki tiket loteri awam tanpa lesen di kaki lima bangunan di Pekan Baharu Inanam pada jam 11.57 pagi, 26 Mei lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000, penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu bahawa sepasukan polis yang menjalankan pemantauan di lokasi berkenaan mengesan aktiviti perjudian dijalankan oleh tertuduh.
Pemeriksaan ke atas Brenda kemudian menemukan beberapa barangan yang dipercayai digunakan untuk operasi loteri awam tanpa lesen jenis “Wa Hui”.
Antara barangan yang dirampas ialah sebuah telefon bimbit, pencetak mudah alih, dua helai kertas mengandungi nombor dan butiran pertaruhan serta wang tunai RM60.
Brenda kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut.
Pakar perjudian yang dipanggil mengesahkan bahawa resit yang dirampas dalam operasi itu mengandungi nombor bercetak dan butiran pertaruhan berkaitan loteri dua digit “Wa Hui” tanpa lesen.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah.






