
BUTTERWORTH: Seorang lelaki etnik Rohingya warga Myanmar didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan milik individu lain tanpa kebenaran bagi tujuan mendaftarkan akaun Touch n Go.
Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ajimul Khan Shafiullah, 41, selepas pengakuan salah direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kad pengenalan atas nama S.Ganesan yang bukan miliknya, tanpa kuasa sah bagi tujuan mendaftarkan akaun Touch n Go.
Kesalahan itu dilakukan pada kira-kira pukul 4.09 petang, 3 November lalu di Jalan Bertam 2, Kepala Batas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah D9 di hadapan Blok B, Apartment Sri Kotong, Batu Caves, Selangor, kira-kira pukul 1.40 petang, 3 November lalu.
Pemeriksaan terhadap telefon bimbit tertuduh kemudian membawa kepada penemuan penggunaan kad pengenalan milik individu berkenaan tanpa kebenaran bagi mendaftarkan akaun Touch n Go.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit Oppo A78, sekeping kad Touch n Go serta sepucuk surat daripada pihak Touch n Go atas nama S.Ganesan untuk membantu siasatan.
Peguam tertuduh, Ahmad Faris Khairudin ketika merayu memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum dengan mengambil kira pengakuan salah anak guamnya yang menjimatkan masa dan kos perbicaraan.
Beliau berkata, tertuduh menyesali perbuatannya serta memohon maaf kepada mahkamah dan negara kerana mendakwa tidak mengetahui peraturan berkenaan, selain mendapatkan khidmat seorang ejen untuk urusan pendaftaran kad tersebut.
Katanya, tertuduh yang mempunyai empat orang anak dan isteri tidak bekerja merupakan pencari nafkah tunggal keluarga dengan pendapatan kira-kira RM1,200 sebulan hasil melakukan kerja sambilan termasuk di stor dan mengangkat barang.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh. – UTUSAN
The post Lelaki Rohingya didenda RM3,500 guna MyKad milik individu lain appeared first on Utusan Malaysia.






