Lelaki dikhuatiri lemas ketika cuba seberangi Sungai Pahang

2 Jun 2026 • 11:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki dikhuatiri lemas ketika cuba seberangi Sungai Pahang
Pasukan bomba menjalankan operasi pencarian selepas seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika cuba berenang menyeberangi Sungai Pahang di Kampung Peragap pada Selasa.

TEMERLOH – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika cuba berenang menyeberangi Sungai Pahang di Kampung Peragap di sini pada Selasa.

Mangsa dikenali sebagai Samsul Azmi Ishury, 41.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.30 pagi.

Menurutnya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan utiliti Triton dan sebuah bot aluminium dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 8.02 pagi dan menjalankan operasi pencarian bersama polis.

“Berdasarkan maklumat awal saksi, mangsa dipercayai berenang untuk menyeberangi sungai sebelum dihanyutkan arus dan dikhuatiri lemas,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Bukit Angin turut digerakkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Operasi pencarian masih dijalankan dan setakat ini mangsa belum ditemukan,” katanya.