
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki membakar rumah milik ibunya di Kampung Sungai Baru, Jitra, Kedah pada Ahad (12 Julai).
Difahamkan kejadian dipercayai berlaku susulan pertengkaran antara suspek berusia 36 tahun dengan ahli keluarganya.
Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim insiden berlaku sekitar jam 3.15 petang dan mengakibatkan rumah dua tingkat itu terbakar 80%.
Suspek disyaki bertindak demikian selepas seorang sepupunya yang sedang berniaga berdekatan terlihat lelaki itu memasuki rumah terbabit.
Kira-kira 30 minit kemudian, suspek dilihat keluar melalui tingkap rumah sebelum api mula marak dari bahagian ruang tamu.
“Sepupunya segera menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan memadam kebakaran,” katanya dipetik Astro Awani.
Hasil pemeriksaan bomba kemudian mendapati rumah dua tingkat yang ketika itu tidak berpenghuni musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran tersebut.
Tambah Mohd Radzi lagi, rumah berkenaan adalah milik ibu suspek yang berusia 60 tahun, namun warga emas itu kini menetap di Pokok Sena.
“Siasatan awal percaya suspek bertindak membakar rumah itu selepas bergaduh dengan ahli keluarganya.”
Semakan turut mendapati lelaki terbabit mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk ugutan jenayah.
“Suspek juga mempunyai rekod kes dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” jelasnya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api atau bahan letupan dengan niat memusnahkan atau merosakkan rumah.
Semalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah memaklumkan sebuah sebuah rumah kelas C dua tingkat di Kampung Sungai Baru, belakang Watt Siam mengalami kemusnahan kira-kira 80%.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berjaya mengawal kebakaran pada jam 3.51 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.17 petang. Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
“Siasatan awal di lokasi mendapati kebakaran dipercayai dilakukan oleh pemilik rumah sendiri. Suspek telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” kata kenyataan tersebut.





