Pandu van dalam keadaan mabuk sebelum terbabas

LocalPolitics
31 Mar 2026 • 10:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang lelaki memandu van dalam keadaan mabuk sehingga terbabas di bahu jalan.

JASIN - Seorang lelaki bertindak berbahaya apabila memandu dalam keadaan mabuk sehingga van dipandunya terbabas di bahu jalan.

Video berdurasi 24 saat itu tular sejak malam Isnin dan dipercayai dirakam di Jasin, di selekoh selepas penjara menghala ke simpang Kerayong.

Rakaman tersebut memaparkan keadaan lelaki berkenaan yang dianggarkan berusia lingkungan 20-an hingga 30-an dalam keadaan separa sedar dan hanya tersenyum selepas van dipandunya terbabas.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada kemalangan itu turut membabitkan kenderaan lain atau sebaliknya.

“Tengok kawan kau, buat hal. Bawa van dalam keadaan mabuk, tak tentu arah, kuat bau dia minum,” kata wanita yang merakam video tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan susulan penularan video berkenaan.

“Untuk makluman, pihak polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian ini. Namun, pada awal pagi tadi, pihak kami mengesan video tular di Facebook.

“Pasukan siasatan trafik dan MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin telah ke lokasi selepas melihat video tersebut, namun mendapati pemandu serta kenderaan terbabit sudah tiada di lokasi,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.